BINTANG Real Madrid, Vinicius Junior, menjaringkan dua gol, termasuk sepakan penalti pada minit ke-82 bagi memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Bayern Munich dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara penuh dramatik awal pagi tadi.

Pemain skuad kebangsaan Brazil itu menjaringkan gol buat pelawat mendahului perlawanan pada minit ke-24 selepas menerima hantaran Toni Kroos di Allianz Arena.

Bayern pula menjaringkan dua gol pantas dalam separuh masa kedua, dengan Leroy Sane menyamakan kedudukan pada minit ke-53 sebelum Harry Kane menyempurnakan penalti.

Bagaimanapun, Real turut diberikan sepakan penalti selepas Rodrygo dijatuhkan sebelum Vinicius tenang menyamakan kedudukan, menyaksikan kedua-dua pasukan kekal terikat menjelang aksi timbal balik minggu hadapan.