Pahang bangkit daripada kekecewaan tewas di tangan Lions XII tempoh hari, selepas membenam Kelantan 5-3 dalam aksi Liga Super yang berlangsung malam tadi.

Pahang yang kini sedang mengejar rapat pendahulu liga Johor Darul Takzim (JDT), bermula garang apabila menjaringkan dua gol dalam masa tidak sampai 10 minit perlawanan bermula.

Surendran Ravindran menjaringkan gol pada minit ke-7, sebelum Dickson Nwakaeme pula menghukum bekas pasukannya itu dua minit kemudian. Kelantan mempamerkan sedikit penguasaan sehingga merapatkan jurang menerusi jaringan Mohd Nor Farhan di minit ke-12, sebaliknya Matthew Davies pula tampil menjarakkan jurang di minit ke-44.

Pahang tidak menunggu lama untuk menambahkan koleksi gol mereka apabila barisan jentera serangan mereka mengambil peluang sepenuhnya kelekaan pertahanan Kelantan. Zesh Rehman tiba-tiba muncul melakukan tandukan hasil lambungan rakan di sebelah kanan di minit ke-53.

Kelantan dilihat tidak berputus asa untuk mengejar pasukan tuan rumah apabila Farhan sekali lagi menjaringkan gol, di minit ke-70.

Corak permainan Kelantan jelas tempang apabila Khairul Izuan Rosli dibuang padang akibat mengasari pemain lawan. Pun begitu Kelantan masih lagi mampu menjaringkan gol, Farhan muncul melakukan hatrik apabila dia menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-90. Sebelum itu, Kelantan dihadiahkan penalti selepas Azamuddin Akil mengasari Iwuji Amutu.

Pahang nyata cemas apabila kedudukan menjadi 4-3 dengan masa tambahan diberikan lima minit, mujur Azzamuddin cepat meletakkan Pahang di kedudukan selesa selepas dia bertindak bijak menewaskan Khairul Fahmi Che Mat ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol Kelantan.

Sementara itu di Larkin turut menyaksikan Johor DT menewaskna Lion XII 1-0 manakala Selangor menewaskan ATM 3-1.

Di Kuala Terengganu, Terengganu menewaskan Perak dengan kedudukan 2-1 manakala Sarawak terpaksa terikat dengan Sime Darby 1-1.

Johor kini menghuni tangga teratas liga dengan kutipan 43 mata, satu mata didepan Pahang yang berada ditangga kedua.