KOTA BHARU: Polis menahan lima penyeludup warga tempatan kerana disyaki menyeludup 50 kampit beras dari negara jiran dalam operasi kontraban di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 56 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Chekok Jambu, Jalan Panji, di sini Rabu lepas.

Beliau berkata pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman menyerbu premis berkenaan pada 7.40 malam dan turut menemukan pelbagai jenis dadah serta air ketum.

"Polis menemukan lima kilogram ganja, sebanyak 17,200 biji pil kuda dan 18 liter cecair air ketum serta dua liter cecair ubat batuk.

"Kesemua rampasan beras dan pelbagai jenis dadah itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan yang diseludup melalui negara jiran," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau berkata sindiket berkenaan bukan sahaja menyeludup beras malah turut terlibat aktiviti pengedaran dadah.

Selain itu, polis turut merampas dua pucuk pistol, satu unit kelopak bersama 47 butir peluru hidup, sebuah kereta pacuan empat roda dan lima telefon bimbit.

"Sindiket ini memang tidak ada dalam senarai polis dan mereka ini bergerak secara berkumpulan. Kami percaya saki-baki ahli sindiket masih bebas di luar sana dan polis akan memburu mereka," katanya sambil menambah kesemua nilai rampasan keseluruhan dianggar RM273,815.

Muhamad Zaki berkata hanya seorang suspek disahkan positif dadah dan kesemua direman bermula 28 Mac sehingga esok (1 April) dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA