Skip to main content

Malaysia

Lima juta pembayar cukai M40 boleh jimat sehingga RM1,600 di bawah Belanjawan 2027 - KPMG Malaysia

Kira-kira lima juta pembayar cukai M40 dijangka menerima pendapatan tambahan sehingga RM1,600, manakala 300,000 PMKS bakal menikmati penjimatan cukai sehingga RM6,000, menurut KPMG. -Gambar fail
Kira-kira lima juta pembayar cukai M40 dijangka menerima pendapatan tambahan sehingga RM1,600, manakala 300,000 PMKS bakal menikmati penjimatan cukai sehingga RM6,000, menurut KPMG. -Gambar fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Belanjawan 2027 mencadangkan peningkatan pelepasan cukai individu dan penurunan kadar cukai pendapatan satu mata peratusan untuk kumpulan M40 dan PMKS.
  • Kira-kira lima juta pembayar cukai M40 dijangka menerima pendapatan tambahan sehingga RM1,600, manakala 300,000 PMKS bakal menikmati penjimatan cukai sehingga RM6,000.
  • Insentif pelaburan hijau, teknologi dan Hab Perkhidmatan Global dilanjutkan hingga 2030 bagi menggalakkan pelaburan bernilai tambah dan memperkukuh daya saing Malaysia.

KUALA LUMPUR: Peningkatan pelepasan cukai individu berserta penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi kumpulan berpendapatan sederhana M40 dalam Belanjawan 2027 boleh menyediakan pendapatan tambahan sehingga RM1,600 untuk kira-kira lima juta pembayar cukai, kata KPMG Malaysia.

Menyifatkan inisiatif itu sebagai bermakna bagi golongan M40, Ketua Cukainya Soh Lian Seng berkata golongan berkenaan kadang kala berdepan dengan situasi sukar.

Hal ini kerana mereka mungkin tidak layak menerima sesetengah bentuk bantuan bersasar namun tetap menanggung tekanan perbelanjaan isi rumah dan peningkatan kos sara hidup yang sama.

“Bagi golongan M40, peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 amat dialu-alukan.

“Ia merupakan langkah praktikal untuk menyalurkan semula wang ke dalam poket mereka,” katanya kepada Bernama bagi mengulas Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Jumaat.

Menurut Anwar, pelarasan had pelepasan cukai itu merupakan semakan pertama sejak 2010.

Belanjawan itu turut mencadangkan pengurangan kadar cukai sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM150,000.

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Soh berkata pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan itu juga penting kerana setiap ringgit yang dapat dikekalkan boleh menyumbang kepada aliran tunai, pembayaran gaji dan pendigitalan.

Selain itu, ia turut menyumbang kepada pelaburan dalam teknologi atau pengembangan perniagaan, khususnya ketika perniagaan berdepan kos operasi dan pematuhan yang lebih tinggi.

Menurut beliau, di bawah langkah itu, kadar cukai bagi pendapatan bercukai pertama RM150,000 akan dikurangkan kepada 14 peratus manakala kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM150,000 hingga RM600,000 akan diturunkan kepada 16 peratus.

“Kerajaan menganggarkan kira-kira 300,000 perniagaan berpotensi mendapat manfaat daripada langkah ini dengan penjimatan cukai sehingga RM6,000,” tambah beliau.

Soh turut menyambut baik langkah dalam Belanjawan 2027 yang menyasarkan pelaburan dan daya saing bagi perniagaan berskala besar serta pelabur.

Sebagai contoh, beliau berkata insentif bagi Hab Perkhidmatan Global (GSH), pelaburan hijau dan perniagaan teknologi peringkat awal memberikan isyarat penting bahawa Malaysia mahu menarik aktiviti bernilai tambah lebih tinggi serta menggalakkan perniagaan membuat pelaburan untuk jangka panjang.

“Pelanjutan insentif hijau hingga 2030 amat penting kerana keputusan pelaburan dalam bidang seperti tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) memerlukan tempoh perancangan yang lebih panjang,” katanya.

Beberapa langkah mesra perniagaan turut dicadangkan dalam Belanjawan 2027 termasuk kadar cukai khas lima peratus ke atas pendapatan daripada aktiviti GSH bagi syarikat baharu berkuat kuasa 1 Jan, 2027.

Pengecualian cukai pendapatan bagi pelabur individu yang melabur melalui platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti serta pelabur mangkin yang membiayai syarikat pemula niaga teknologi peringkat awal turut dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2030.

Kerajaan juga akan melanjutkan insentif cukai hijau yang dijadualkan tamat pada 31 Dis, 2026, sehingga akhir 2030. Insentif itu menawarkan elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek hijau dan stesen pengecasan EV.

Kerajaan turut mencadangkan supaya syarikat yang membeli aset teknologi hijau untuk kegunaan sendiri layak menikmati elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus.

Secara keseluruhan, Soh berkata Belanjawan 2027 berusaha mengimbangi bantuan pada masa ini dengan pembaharuan untuk masa hadapan.

“Jika saya merumuskan langkah-langkah percukaian ini, terdapat tiga matlamat utama: mengembalikan sebahagian wang kepada pembayar cukai, memberikan sedikit ruang kepada PMKS untuk bernafas dan menggunakan insentif bersasar bagi menggalakkan pelaburan dalam bidang yang ingin dibangunkan oleh Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesederhanaan dan jaminan kekal sebagai keutamaan utama ketika perniagaan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan e-Invois, peluasan keperluan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pentadbiran cukai yang semakin berteraskan digital.

Beliau memberitahu apabila sistem percukaian menjadi semakin canggih, proses pematuhan sepatutnya menjadi lebih mudah dan bukannya lebih rumit.

Soh menjelaskan, fasa seterusnya pembaharuan cukai perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada penjanaan hasil tetapi juga kepada peraturan cukai yang dipermudah, pengurangan kos pematuhan dan penggunaan pendigitalan untuk menggalakkan pematuhan secara sukarela.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh daya saing Malaysia dan membina sistem percukaian yang lebih mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah manfaat utama peningkatan pelepasan cukai individu dan penurunan kadar cukai pendapatan bagi golongan M40 dalam Belanjawan 2027? 
    A: Peningkatan pelepasan cukai individu dan penurunan kadar cukai pendapatan satu mata peratusan dijangka menyediakan pendapatan tambahan sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai dalam kumpulan M40.
  • Q: Apakah perubahan kadar cukai yang dicadangkan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2027? 
    A: Kadar cukai bagi pendapatan bercukai pertama RM150,000 akan dikurangkan kepada 14 peratus, manakala kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM150,000 hingga RM600,000 akan diturunkan kepada 16 peratus, memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 perniagaan dengan penjimatan cukai sehingga RM6,000.
  • Q: Apakah insentif pelaburan yang dilanjutkan dalam Belanjawan 2027? 
    A: Insentif hijau dilanjutkan sehingga 2030, menawarkan elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek hijau dan stesen pengecasan EV, serta pengecualian cukai pendapatan bagi pelabur individu melalui platform pendanaan ramai dan pelabur mangkin sehingga 31 Disember 2030.
  • Q: Apakah matlamat utama langkah-langkah percukaian dalam Belanjawan 2027 menurut Soh Lian Seng? 
    A: Tiga matlamat utama ialah mengembalikan sebahagian wang kepada pembayar cukai, memberi ruang kepada PMKS untuk bernafas, dan menggunakan insentif bersasar bagi menggalakkan pelaburan dalam bidang yang ingin dibangunkan oleh Malaysia.
  • Q: Apakah keutamaan utama dalam pelaksanaan pembaharuan cukai menurut artikel ini? 
    A: Keutamaan utama ialah kesederhanaan dan jaminan, dengan penekanan kepada pemudahan peraturan cukai, pengurangan kos pematuhan, serta penggunaan pendigitalan untuk menggalakkan pematuhan secara sukarela.

Must Watch Video

Advertisement