KUALA LUMPUR: Lima lokaliti di Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 hingga 25 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memaklumkan lokaliti tersebut melibatkan daerah Kota Kinabalu, Tawau dan Papar.

Ismail Sabri menjelaskan bagi kawasan QL Farm, Membalua di Tawau, PKPD itu dilaksanakan ekoran peningkatan kes dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Bagi lokaliti di Kampung Pikat, Bongawan di Papar, PKPD dilaksanakan ekoran peningkatan kes dalam tempoh seminggu manakala bagi tiga lokaliti di Kota Kinabalu melibatkan Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya pula berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat.

Ismail Sabri juga memaklumkan, PKPD di satu lokaliti iaitu di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, di Sabah yang sepatutnya tamat pada 11 Julai dilanjutkan bermula 12 hingga 25 Julai.