Lima murid lelaki cedera ringan apabila van sekolah yang membawa tiga daripadanya terbalik akibat berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang membawa dua lagi murid di persimpangan lampu isyarat Jasin Bistari, Jalan Jasin-Bemban dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, pemandu van, Hassan Jaafar, 58, cedera ringan di tangan, manakala pemandu wanita kereta Kancil, Foo Man Lan, 39, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Arshad Abu berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila van dari arah Jasin hendak membelok ke Taman Bistari berlanggar dengan kereta Kancil itu dari arah Bemban.

Arshad berkata semua mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan pesakit luar.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mengesahkan van sekolah terbabit telah tamat tempoh cukai jalan dan tidak mempunyai perlindungan insurans.

-- BERNAMA