NATIONAL
LIMA'25: UniKL jalin lima kerjasama strategik aeroangkasa, galak lepasan tahfiz

UniKL menerusi Fakulti Teknologi Penerbangan MIAT memeterai lima MoA dengan syarikat-syarikat utama dalam industri aeroangkasa sempena LIMA 2025 pada Selasa. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerusi Fakulti Teknologi Penerbangan Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) memeterai lima perjanjian persefahaman (MoA) dengan syarikat-syarikat utama dalam industri aeroangkasa sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 2025) pada Selasa.
Perjanjian itu dimeterai bersama Galaxy Aerospace, Aerostar Technologies, Global Turbine Asia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pen Aviation bagi memperkukuh aspek pendidikan, latihan dan penyelidikan dalam sektor penerbangan negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, inisiatif ini seiring usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kompetitif.
“Sebagai institusi di bawah MARA, UniKL kini melatih hampir 2,000 pelajar dalam bidang aeroangkasa, termasuk 129 pelajar lepasan Maahad Tahfiz Ulul Albab."Mereka menunjukkan kebolehan tinggi dalam menyesuaikan diri dengan kurikulum dan latihan industri,” katanya.
Tambah beliau, 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kini telah dilaksanakan program Ulul Albab dengan 70 peratus pelajar mengambil aliran STEM, yang akan menjadi feeder school kepada UniKL dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) dalam bidang aeroangkasa.
Antara fokus utama kerjasama tersebut termasuk latihan penyelenggaraan pesawat, pembangunan pusat kecemerlangan avionik, peningkatan keupayaan reka bentuk dan kelayakan udara, program latihan bersama MAHB serta pembangunan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) bersama Pen Aviation.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada semua syarikat terlibat atas komitmen mereka dalam memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami