Pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas T-Team di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu malam.

Keputusan itu membolehkan skuad bimbingan V. Sundramoorthy terus menerajui tangga teratas Liga Super dengan 34 mata selepas 16 perlawanan manakala T-Team kekal di tangga ke-11 dengan kutipan 12 mata selepas 17 perlawanan.

Pada perlawanan malam ini, pasukan tuan rumah jelas menggunakan kelebihan beraksi di atas padang rumput tiruan dengan menguasai sebahagian besar permainan dan hasilnya, mereka di depan dengan gol pembukaan menerusi kapten pasukan Shahril Ishak seawal minit kesembilan.

Shakir Hamzah menggandakan kedudukan pada minit ke-28 sebelum Fazrul Nawaz memastikan tiga mata penuh milik Lions XII FC selepas menanduk masuk sepakan percuma Shahril pada minit ke-35.

Pesaing terdekat mereka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengekori rapat selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit kesembilan menerusi kapten pasukan ATM Hairuddin Omar, yang menanduk masuk sepakan percuma Rezal Zambery Yahya.

Johor Darul Takzim (Johor DT) yang tewas 2-0 kepada ATM Selasa lepas bangkit mencipta kemenangan bergaya 3-1 ke atas PKNS FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sekali gus merampas tangga ketiga liga dari Selangor dengan 28 mata, berkelebihan dua mata ke atas pasukan Gergasi Lembah Klang itu.

Pada perlawanan di Johor Bharu, pertahanan PKNS FC P. Gunalan memberi gol awal kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-28 selepas beliau tertampan ke dalam gol sendiri hantaran silang pemain Johor DT Mohd Nurul Azwan Roya.

Penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha menggandakan kedudukan untuk skuad bimbingan Fandi Ahmad itu dengan gol kedua pada minit ke-42 namun Patrick Ronaldinho Wleh mengurangkan defisit jaringan tujuh minit kemudian, sebelum Mohd Nurul Azwan meledak gol kemenangan pada minit ke-84.

Terdahulu, pada perlawanan sebelah petang, Terengganu hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 2-2 ketika bertemu Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Khairul Ramadhan Zauwawi menceriakan penyokong tuan rumah dengan menjaring gol pembukaan pada minit ke-10 menerusi sepakan kencang dari sudut sukar sebelum beraksi dengan sepuluh pemain pada minit ke-53 selepas pemain tengah Ismail Faruqi dibuang padang oleh pengadil Syed Azhar Syed Kamar kerana mengutip dua kad kuning.

Kesempatan itu digunakan pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Faizol Hussein seminit kemudian menerusi sepakan voli kencang dari kawasan luar kotak penalti Terengganu.

Ketiadaan Ismail Faruqi bagaimanapun tidak menggugat jentera pasukan Terengganu yang melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad Tok Gajah dan hasilnya, mereka memperoleh gol kedua menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-64.

Pemain tengah skuad Tok Gajah Abdul Malik Mat Ariff bagaimanapun menafikan hajat skuad Penyu untuk meraih tiga mata penuh menerusi jaringan pada masa kecederaan bagi mengikat kedudukan seri 2-2.