Sudah beribu barangkali, karya-karya sempena lebaran dihasilkan dan didendangkan oleh penyanyi-penyanyi tempatan.
Antara penghibur yang sangat sinonim dengan lagu perayaan itu sudah tentu buah hati kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza merupakan penyanyi yang mempunyai sejumlah lagu raya seperti Sesuci Lebaran, Anugerah Aidilfitri, Hari Kemenangan, Air Mata Syawal dan sebagainya.
Semua lagu berkenaan menempa kemasyhuran yang bukan kecil.
Selepas enam tahun tidak muncul dengan sebarang karya baharu sempena Hari Raya Aidilfitri, tahun ini, Siti Nurhaliza kembali mewarnai industri muzik dengan lagu Lip Lap Raya.
Kata Siti Nurhaliza, Lip Lap Raya merupakan sebuah karya seni yang dihasilkan dengan tujuan mudah menangkap perhatian pendengar.
Penyanyi popular berusia 43 tahun itu berkata, Lip Lap Raya sangat mesra pendengar dan akan kekal di kotak fikiran sesiapa sahaja yang kali pertama mendengarnya.
Kebiasaannya, ujar Siti Nurhaliza, sesebuah lagu baharu akan mengambil masa untuk diterima atau digemari tetapi muzik yang ditampilkan menerusi lagu Lip Lap Raya akan dapat melekat di hati pendengar.
"Saya gembira kerana dapat merakamkan lagu Lip Lap Raya serta menambah koleksi lagu raya nyanyian saya. Saya sangat berharap agar lagu ini turut menjadi sebuah lagu raya evergreen pada satu hari nanti," ujar Siti Nurhaliza yang turut menyiapkan video muzik Lip Lap Raya, arahan Aaron Lee.
Untuk rekod, penyanyi tersohor negara itu muncul dengan single raya ialah pada tahun 2016 menerusi lagu Hari Kemenangan.
Lagu dan lirik Lip Lap Raya ciptaan bersama Ajay Amai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan menggabungkan rentak inang, canggung serta turut diselitkan elemen dikir barat.
Sementara liriknya pula berkisarkan kemeriahan sambutan hari raya setelah dua tahun berada dalam fasa pandemik.
Menurut penerbit Lip Lap Raya, Glow Rush, keistimewaan lagu berkenaan terletak pada gabungan elemen tradisional dan moden seperti penggunaan dram elektronik, synth serta vokal Siti Nurhaliza yang menjadi kekuatan lagu tersebut.
Berikutan ketelitian dalam penerbitan Lip Lap Raya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd dan Universal Music Malaysia sebagai penerbit bersama single Lip Lap Raya, yakin dengan penerimaan peminat muzik tanahair terhadap karya terbaharu Siti Nurhaliza ini.
Sementara itu, bagi pencinta Siti Nurhaliza, anda boleh menonton video muzik rasmi Lip Lap Raya di saluran YouTube Siti Nurhaliza yang mula ditayangkan pada 9 malam tadi.
Lagu Lip Lap Raya juga boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, JOOX, KK Box dan Deezer bermula 20 April 2022.