KUALA LUMPUR: Rangkaian teknologi generasi kelima (5G) kini boleh dinikmati di kawasan Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Ralph Marshall.

Menurut beliau, rangkaian 5G itu boleh diakses secara terbuka sebagai program perintis menerusi operator rangkaian mudah alih YES dari YTL Communication Sdn Bhd dan Unifi Mobile dari Telekom Malaysia Berhad (TM).

Selain YES dan Unifi, beliau berkata, DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G percuma kepada semua operator rangkaian mudah alih di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Tawaran itu, kata Ralph, akan kekal sehingga 31 Mac tahun depan.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan semua operator rangkaian mudah alih dalam industri bagi memacu perkhidmatan 5G untuk Keluarga Malaysia di seluruh negara," kata beliau ketika berucap pada Majlis Ketersediaan Perkhidmatan Komersial 5G di sini, hari ini.

DNB, katanya, akan menyediakan perkhidmatan 5G secara borong kepada operator rangkaian mudah alih dengan kos jauh lebih rendah daripada menghasilkan rangkaian 4G.

Perkhidmatan itu sekali gus memberi rguang kepada operator menawarkan harga lebih rendah kepada pelanggan-pelanggan mereka dalam perkhidmatan rangkaian 5G.

"Pengguna dengan peranti 5G boleh menikmati purata kelajuan 100 Mbps. Ini bermaksud pengguna masih boleh menikmati purata kelajuan itu di kawasan kurang liputan rangkaian 5G," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, DNB menjangkakan sekitar 80 peratus rakyat di negara ini bakal menikmati rangkaian 5G menjelang tahun 2024.