Skip to main content

Malaysia

Tugu Negara, Taman Tugu kekal kelangsungan warisan dan kepahlawanan negara

71636884336_TBTUGUNEGARA.jpg
Dirasmikan pada 8 Feb 1966, monumen bersejarah itu memperingati wira yang gugur dalam pertempuran merentasi era konflik utama termasuk Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan zaman darurat Tanah Melayu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tugu Negara yang tersergam indah di ibu negara bukan sekadar sebuah struktur binaan daripada gangsa, sebaliknya menjadi monumen simbol penghormatan terhadap pengorbanan lebih 11,000 perajurit negara yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara. 

Dirasmikan pada 8 Feb 1966, monumen bersejarah itu memperingati wira yang gugur dalam pertempuran merentasi era konflik utama termasuk Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan zaman darurat Tanah Melayu.

Setelah lebih enam dekad berlalu, makna Tugu Negara terus berkembang.

Ketika Malaysia bersiap sedia menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, landskap di sekitar monumen ikonik itu berwajah baharu dengan kehadiran Taman Tugu, sebuah hutan hujan bandar terpelihara seluas kira-kira 26.70 hektar di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Di situ, sejarah dan alam semula jadi wujud seiring, menjadi ruang yang menggabungkan memori pengorbanan terdahulu dengan rentak kehidupan moden.

Kesepaduan antara seni bina bersejarah dengan pemuliharaan alam sekitar itu menunjukkan bagaimana warisan pengorbanan masa lalu kini “hidup” dalam konteks moden, sekali gus menawarkan ruang kepada aspek kesejahteraan, kesihatan dan rekreasi untuk segenap lapisan masyarakat.

Tokoh Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata tapak bersejarah negara seperti Tugu Negara memainkan peranan penting dalam memperkukuh pemahaman golongan muda mengenai patriotisme dan perpaduan negara. 

“Pertama sekali, perlu ada pemahaman dalam kalangan generasi muda, iaitu mereka mesti difahamkan mengapa simbol sebegini dan berkaitan dengan negara wujud.

“Kita perlu terus menyokong dan menggalakkan generasi muda untuk mengetahui semua perkara ini dan maksud di sebaliknya... pengorbanan pahlawan yang gugur ketika berjuang demi kemerdekaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa yang sama, Lee menyuarakan kebimbangan perpaduan dianggap sebagai perkara bermusim semasa sambutan Bulan Kebangsaan kerana menegaskan perkara itu mesti menjadi komitmen harian yang berterusan dan diterapkan dalam tanggungjawab sivik serta prinsip Rukun Negara.

Beliau berkata walaupun Malaysia telah mencapai kebersamaan sosial yang kukuh melalui interaksi seharian, perpaduan negara yang sebenar masih dalam proses pembentukan yang menuntut rakyat untuk mengutamakan aspirasi nasional bersama-sama yang merentasi sempadan kaum.

Bukti nyata perpaduan itu, menurut beliau dapat dirasai di kawasan bersebelahan Tugu Negara, iaitu di Taman Tugu yang menyaksikan orang ramai berkumpul di bawah kanopi hutan untuk menikmati kebebasan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.

Bagi melengkapkan nilai sejarah Tugu Negara, Taman Tugu Project Development Sdn Bhd (Taman Tugu) memaklumkan kewujudan taman hutan bandar itu menawarkan ruang yang mudah diakses rakyat Malaysia untuk kekal aktif, saling berinteraksi dan mendekatkan diri dengan alam semula jadi menerusi denai hutan sepanjang tujuh kilometer.

Diwujudkan sebagai inisiatif CSR bukan berasaskan keuntungan oleh Khazanah Nasional Bhd serta sokongan agensi awam dan pertubuhan masyarakat, Taman Tugu kekal percuma serta dibuka kepada orang ramai menerusi kerjasama komuniti dan sokongan korporat, dengan pemeliharaan jangka panjangnya dilindungi di bawah Amanah Warisan Negara (AWAN).

Dalam maklum balas bertulis kepada Bernama, pihak Taman Tugu memaklumkan Tugu Negara mempunyai kedudukan penting dalam sejarah negara manakala Taman Tugu menawarkan pengalaman lengkap sebagai sebuah hutan bandar yang memfokuskan kepada alam semula jadi, rekreasi, pembelajaran serta penglibatan komuniti.

Kedudukannya yang berhampiran membolehkan pengunjung meneroka dimensi Kuala Lumpur yang berbeza dalam kawasan yang sama dengan akses mudah dari tapak peringatan negara ke sebuah hutan bandar yang dipelihara untuk kegunaan awam.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kedudukan yang berhampiran ini menawarkan peluang menarik kepada rakyat Malaysia dan pengunjung untuk merenung sejarah serta kepentingan memelihara kawasan hijau yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kualiti hidup generasi kini dan juga akan datang,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement