MELAKA: Capaian rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Melaka kini meliputi 69 peratus dan kerajaan negeri bersama Digital Nasional Bhd (DNB) terus komited memastikan pelaksanaan infrastruktur berkenaan di 26 lokasi lagi dapat diselesaikan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata pihaknya juga yakin sasaran 89 peratus liputan rangkaian 5G menjelang pertengahan Disember ini mampu dicapai melibatkan 225 lokasi di seluruh Melaka.

"Pada mulanya terdapat beberapa masalah dan kekangan seperti status permohonan, tetapi kita telah adakan satu Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan 5G Negeri Melaka bersama agensi terlibat.

"Segala proses permohonan untuk pelaksanaan rangkaian 5G juga telah kita bincang dan selaraskan berhubung perkara itu dan ia dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Semarak Gemilang 2023 Jabatan Penerangan (JaPeN) Melaka di Sungai Putat di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JaPeN Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah JaPeN Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Pada majlis itu Fairul Nizam turut menyampaikan Anugerah Semarak Gemilang tahun 2023 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Hutan Percha yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan tinggi mengibarkan jalur gemilang ketika sambutan Bulan Kebangsaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berharap JaPen dapat menambah peruntukan bagi menggiatkan lagi program dan aktiviti di setiap lapisan masyarakat terutama di sekolah dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang pada masa akan datang.

-- BERNAMA