LANGKAWI: Sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Langkawi International Travel Bubble Task Force (LITBTF) akan diaktifkan hari ini sempena pembukaan Pulau Langkawi sebagai destinasi bagi projek gelembung pelancongan antarabangsa.

Pengerusinya, Saiful Anwar Azmi menyatakan fungsi jawatankuasa khas itu adalah bagi memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan antarabangsa dipatuhi selain memudahkan urusan pelancong yang memasuki Pulau Langkawi.

Beliau memaklumkan jawatankuasa berkenaan akan disertai 25 agensi dari peringkat negeri dan persekutuan yang mana akan memainkan peranan sama seperti LTBTF yang ditubuhkan September lalu.

Tambahnya, pihaknya turut mengharapkan ejen-ejen pelancongan dapat memainkan peranan besar khususnya sebagai 'penunjuk-arah' kepada pelancong antarabangsa dalam menjayakan projek kali ini.

"Jawatankuasa Langkawi International Travel Bubble Task Force ini akan memberi penerangan (kepada pelancong terutama) di lapangan terbang, peranan ini akan dibantu oleh ejen pelancongan.

"Ejen pelancongan sangat penting... mereka akan membawa dan mengiring pelancong-pelancong ini... akan sambut sebaik sahaja tiba di lapangan terbang, selain memainkan peranan penting untuk menerangkan sejauh mana SOP perlu dipatuhi,

"Tanpa kerjasama ejen pelancongan, saya rasa sukarlah untuk kita pastikan SOP gelembung pelancongan ini dipatuhi pelancong antarabangsa," katanya.

Saiful Anwar berkata demikian ketika ditemui media di Pejabat Daerah Langkawi di Kuah pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan antara SOP gelembung pelancongan antarabangsa adalah kesemua pelancong diwajibkan menggunakan agensi pelancongan.

Satu agensi pelancongan menurutnya hanya dibenarkan untuk mengurus dan mengendalikan maksimum 20 orang pelancong antarabangsa sahaja.

September lalu, sebanyak enam jawatankuasa kecil telah ditubuhkan bagi membantu 'Langkawi Travel Bubble Task Force' (LTBTF) bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap sektor sempena pembukaan semula Pulau Langkawi kepada pelancong domestik.

Jawatankuasa kecil itu melibatkan Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Komuniti, Jawatankuasa Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan serta Jawatankuasa Pengindahan Bandar.