awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Tebing Barat hadapi krisis kemanusiaan terburuk sejak 1967 - UNRWA
PRK Kinabatangan: Dua calon selesai mengundi setakat 9 pagi
Bom Perang Dunia Kedua ditemukan dalam kebun di Jasin
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Literasi kewangan lemah, pinjaman tersembunyi punca guru bankrap - NUTP

Bernama
Bernama
24/01/2026
00:50 MYT
Literasi kewangan lemah, pinjaman tersembunyi punca guru bankrap - NUTP
Fouzi berkata kecenderungan sesetengah guru yang berminat dalam bidang perniagaan dan pelaburan juga menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan menguntungkan. - Foto NUTP Malaysia
SHAH ALAM: Kelemahan literasi kewangan dalam kalangan guru antara faktor utama yang menyebabkan golongan pendidik mudah terjebak dalam masalah hutang sehingga berdepan risiko kebankrapan.

Ringkasan AI
  • Kelemahan literasi kewangan dalam kalangan guru menyebabkan mereka mudah terjebak dalam masalah hutang sehingga menghadapi risiko kebankrapan.
  • Sistem kelulusan pinjaman yang longgar membolehkan guru membuat pinjaman tambahan melebihi kemampuan sebenar, meningkatkan risiko hutang berganda dan masalah kewangan jangka panjang.
  • NUTP menasihati ketua jabatan memantau kewangan guru sebelum kelulusan pinjaman, serta menggesa pendidikan literasi kewangan wajib untuk guru di seluruh negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan sistem kelulusan pinjaman yang disifatkan longgar sehingga membuka ruang kepada guru membuat pinjaman tambahan walaupun tahap komitmen telah melepasi had selamat.
"Walaupun potongan gaji melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dihadkan kepada maksimum 60 peratus daripada gaji bulanan, terdapat institusi kewangan yang membenarkan pinjaman dibuat di luar sistem tersebut melalui potongan terus daripada akaun bank.
"Situasi ini memberi ruang kepada guru membuat pinjaman tambahan walaupun kemampuan sebenar mereka telah melepasi had selamat, sekali gus meningkatkan risiko berdepan hutang berganda dan masalah kewangan jangka panjang," katanya kepada Bernama.
Sehubungan dengan itu, Fouzi menyarankan ketua jabatan atau bahagian sumber manusia memainkan peranan lebih aktif memantau kedudukan kewangan warga pendidik sebelum memberikan sebarang pengesahan, bagi mengelakkan mereka terlibat dengan pinjaman tersembunyi yang tidak dipaparkan dalam slip gaji.
Sebelum ini media melaporkan, Selangor merekodkan jumlah kes kebankrapan tertinggi di negara ini, dengan golongan guru antara penjawat awam yang paling ramai terlibat.
Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia Datuk Ishak Bakri berkata antara punca utama kebankrapan adalah komitmen pinjaman peribadi yang tinggi, selain data Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menunjukkan golongan berpendapatan tetap lebih terdedah kepada risiko kebankrapan.
Fouzi berkata kecenderungan sesetengah guru yang berminat dalam bidang perniagaan dan pelaburan juga menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan tawaran skim pelaburan atau pinjaman yang kelihatan menguntungkan, walaupun tidak memiliki ilmu kewangan mencukupi.
Fouzi turut merujuk kes penipuan pinjaman oleh sebuah platform pendidikan kewangan (CSA Academy) yang disifatkan sebagai kes terbesar pernah dikendalikan NUTP, melibatkan kira-kira 1,700 guru di seluruh negara termasuk Selangor, Melaka, Kelantan dan Pahang.
Beliau berkata sebahagian besar mangsa menanggung hutang melebihi RM100,000 seorang, malah terdapat kes membabitkan pasangan suami isteri guru, sehingga menyebabkan keseluruhan pendapatan isi rumah terjejas.
"Skim tersebut menjanjikan penyelesaian hutang sedia ada serta pulangan bulanan yang tinggi dengan syarat guru membuat pinjaman baharu yang dibantu pegawai bank yang tidak bertanggungjawab.
"Pada peringkat awal, sebahagian mangsa menerima bayaran sebelum skim itu gagal dan meninggalkan beban hutang berganda," katanya yang turut memaklumkan kes tersebut telah diambil tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain skim pelaburan, terdapat juga kes guru terjerat hutang akibat dipujuk pasangan membuat pinjaman, menjadi penjamin hutang rakan atau saudara, serta pembelian aset seperti tanah dan rumah di luar kemampuan sebenar.
Kesemua faktor ini akhirnya membawa kepada notis kebankrapan dan masalah kewangan jangka panjang, sekali gus mencetuskan tekanan emosi serius kepada guru termasuk masalah tidur, konflik keluarga serta penurunan motivasi kerja.
"Dalam keadaan tertentu, tekanan melampau boleh mendorong kepada tindakan di luar kawalan, sekali gus menjejaskan imej profesion perguruan dan sistem pendidikan," katanya sambil berkata gaji guru sebenarnya mencukupi untuk menampung keperluan asas sekiranya diurus dengan baik.
Beliau berkata guru DG41 atau DG9 baharu, menerima kira-kira RM3,200 hingga RM3,500 sebulan termasuk elaun, manakala pasangan guru sepatutnya mampu menjalani kehidupan yang selesa dengan perancangan kewangan yang betul.
Mengenai keberhutangan guru didapati lebih ketara di Selangor, Fouzi berkata keadaan itu bukan semata-mata disebabkan tahap pendapatan, sebaliknya jumlah guru yang tertinggi di negeri tersebut, iaitu 45,000 orang, dengan lebih 33,000 daripadanya merupakan ahli NUTP.
"Apabila jumlah guru terlalu besar, kebarangkalian kes juga meningkat. Ini tidak bermaksud Selangor lebih bermasalah, tetapi kes lebih menonjol kerana populasinya besar," katanya turut menggesa pendidikan literasi kewangan diwajibkan kepada semua guru, termasuk di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan bukan sekadar dijadikan kursus sampingan.
Dalam usaha membantu mangsa, NUTP bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyusun semula pinjaman serta memastikan guru masih mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus pendapatan bersih.
Beliau turut menekankan keperluan sokongan psikologi bagi membantu guru yang terjejas menangani tekanan kewangan dan emosi.
Fouzi turut menasihatkan guru, khususnya guru muda, agar tidak membuat keputusan kewangan secara bersendirian dan mendapatkan pandangan profesional sebelum membuat sebarang pinjaman bagi melindungi pendapatan mereka, sekali gus dapat menjalankan tanggungjawab mendidik dengan tenang dan berfokus.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#guru bankrap
#NUTP
#literasi kewangan
#Fouzi Singon
#pinjaman
#pelaburan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan