KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kewangan untuk memberi penjelasan berhubung kelemahan pengurusan pembangunan dua projek hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 menyatakan kegagalan LADA mengutip hasil pajakan tanah dua projek, iaitu Projek Pembangunan Hotel St Regis sebanyak RM3.19 juta sejak 2018; dan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.

Selain itu, beliau berkata, beberapa lagi pihak yang terkait dengan LKAN 2022 akan dipanggil dalam sesi seterusnya bagi tujuan penjelasan.

“Untuk tujuan prosiding bagi isu-isu di Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2022, PAC akan berikan tumpuan kepada tajuk yang dikenal pasti mempunyai unsur 3P iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, dan juga pembaziran, serta satu K iaitu kecuaian.

“Berikutan dengan itu PAC telah pun membuat keputusan untuk memanggil Kementerian Kewangan bagi memberi penjelasan berhubung pengurusan LADA pada Khamis depan, 30 November 2022.

“PAC akan memaklumkan dari semasa ke semasa bagi tajuk lain untuk tujuan prosiding, yang mana kita dah pun susun jadual sampai hujung tahun, sampai Disember untuk isu yang dibangkitkan Ketua Audit Negara,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Radzi, sempena pembentangan LKAN 2022 di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, PAC turut mengambil maklum tentang cadangan pemindaan terhadap Akta Audit Negara 1957, yang kali terakhir dipinda pada 1991 (Akta A795), serta Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) pada 2016.

“Kita meminta untuk ada peranan PAC dimasukkan, setelah diberi komitmen oleh Ketua Audit Negara untuk melihat dan mengambil pandangan pihak Peguam Negara dan juga Pegawai Undang-undang (PAC), dan kalau ada sesi libat urus, boleh kita bincangkan yang terbaik untuk jalinan kerjasama di masa hadapan.

“Ia penting untuk kita melihat kuasa dan tanggungjawab PAC bagi melaksanakan tugas dengan lebih mantap dan berkesan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Wan Suraya berkata, sebanyak 16 LKAN 2022 membabitkan tiga naskah – LKAN 2022 mengenai Aktiviti Kementerian / Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan; LKAN 2022 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan; dan LKAN 2022 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar – dibentangkan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita telah mengemukakan 261 syor Audit untuk dilaksanakan Kementerian, Jabatan, Agensi dan Syarikat Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Syor yang dikemukakan diharap dapat membantu mereka tambah baik kelemahan dibangkitkan.

“Seperti dimaklumkan, pihak awam boleh melihat melayari isu isu dibangkitkan melalu dashboard Ketua Audit Negara (AGD) bagi isu telah dilaporkan dalam laporan hari ini. AGD merupakan platform bagi membolehkan isu dan maklumbalas terkini LKAN dipaparkan secara telus, padat dan tepat.

"Usaha pemantapan tatakelola ini diharap selaras dengan aspirasi dan visi Ekonomi Madani Perdana Menteri,” katanya lagi.

Sebanyak tiga LKAN Tahun 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, iaitu LKAN 2022 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan; LKAN 2022 Mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar; dan LKAN 2022 Mengenai Aktiviti Kementerian / Jabatan / Negeri dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

Orang awam yang berminat untuk mengetahui perincian laporan tersebut boleh mendapatkannya di laman rasmi Jabatan Audit Negara di https://lkan.audit.gov.my, dan juga dashboard Jabatan Audit Negara di h https://agdashboard.audit.gov.my/.