Sebuah lagi loji rawatan kumbahan bersepadu akan dibina oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan sisa pepejal di Sungai Segget.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, ia akan dibangunkan menerusi fasa keempat daripada Projek Transformasi Sungai Segget yang dijadualkan bermula September ini.

Jelasnya lagi, projek pembinaan loji kumbahan berkenaan akan dibangunkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Kita harapkan dengan adanya fasa-fasa ini terutamanya dengan centralize severage treatment plant (CSTP) siap, dan juga naik taraf Sungai Segget dan beberapa over flow by pass (pengurusan limpahan), air hujan akan terus masuk ke Sungai Segget.

“Maka kita jangka dapat kurangkan kesan banjir kilat di kawasan bandar raya Johor Bahru ini,” ujar Ayub.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam sesi lawatannya ke Sungai Segget, di sini.

Fasa 1 dan 2 yang siap 31 Disember lalu membabitkan pembinaan loji rawatan di Wadihana, sistem retikulasi dan menaik taraf saluran Sungai Segget.

Loji sedia ada itu hanya menampung rawatan kumbahan di sekitar kawasan pusat bandar raya yang merangkumi bangunan komersial.

Sehingga kini, IRDA dan MBJB sedang dalam peringkat kajian untuk membina loji itu di bahagian hulu Sungai Segget, bermula dari Wadihana sehingga Taman Century.

Ia susulan terdapat keperluan mendesak akibat daripada pembangunan pesat di huluan Sungai Segget termasuk pembinaan bangunan komersial dan kediaman di kawasan berkenaan.

Bagi memastikan projek itu berjalan lancar, IRDA juga sedang memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi pembinaan loji berkenaan.

Sementara bagi pelaksanaan fasa ketiga iaitu kerja landskap, proses untuk membuat lakaran reka bentuk akan bermula Julai ini dan akan mula dilaksanakan September.

Katanya, apabila siap kelak satu badan khas terdiri daripada pegawai MBJB dan IRDA akan dilantik bagi mengendalikan projek berkenaan.