Tahun kewangan 2014/2015 telah terbukti menjadi satu tempoh yang positif untuk Lotus dari segi jualan. Berbanding tempoh yang sama bagi 2013/2014, peningkatan jualan adalah sehingga 55% mengikut laporan terbaharu syarikat milik Proton tersebut.

Jumlah keseluruhan kereta terjual adalah 2,015 unit, berbanding 1,296 unit bagi 2013/2014; dan ini merupakan jumlah jualan terbaik bagi mereka sejak tahun 2008/2009.

Peningkatan paling tinggi dicatat di pasaran negara China iaitu sebanyak +186%, Perancis (+177%), dan Jerman (+130%). Pasaran eksport terbesar bagi Lotus, iaitu Jepun juga merasai pertambahan jualan sebanyak +103%.
Untuk pasaran tempatan United Kingdom, Lotus menjual 346 unit, dua kali ganda berbanding sebelum ini.

Di Amerika Syarikat – di mana hanya model Evora sahaja dijual sebagai kereta penumpang, manakala Exige adalah khas sebagai kereta litar – jualan bertambah sebanyak 24%.

Dari perspektif model yang terjual, model Elise masih lagi mengekalkan popularitinya dengan 729 unit terjual (peningkatan 80%). Model Exige S turut bertambah sebanyak 52% dengan jumlah 724 unit. Evora pula – tanpa mengambil kira jualan Evora 400 yang hanya akan mula dijual bulan Ogos nanti – terjual sebanyak 562 unit (+35%).

Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Lotus, Jean-Marc Gales berkata, “Kami sedar bahawa banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kemajuan kami. Pertumbuhan yang berterusan yang ditunjukkan menjadi bukti untuk kepercayaan pembeli kepada Lotus, sambil mengekalkan ciri asas kami iaitu prestasi tinggi, kenderaan yang ringan, kecekapan, pengalaman memandu hebat; dan semua di dalam pakej yang menawan.”

Beliau turut berkata bahawa jumlah pengedar Lotus sudah bertambah sebanyak 36. Dengan ini, sekarang terdapat 174 pengedar Lotus di serata dunia.

Jean-Marc menambah mereka juga sedang mengusahakan beberapa kenderaan Lotus baharu, di mana semuanya akan diumumkan di dalam 18 bulan akan datang.