GEORGE TOWN: Penutupan sebahagian laluan secara berkala di Jalan Sultan Azlan Shah di sini akan dilaksanakan bermula esok hingga 15 Nov, bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di kawasan berkenaan.
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu bermula 10 malam hingga 5 pagi setiap hari bagi membolehkan kerja-kerja penebangan pokok.
"Penutupan itu akan melibatkan laluan paling kiri di antara persimpangan Jalan Sungai Dua sehingga Padang Universiti Sains Malaysia (USM) menghala ke arah Komtar, dan laluan paling kiri di antara Kem Tentera Batu Uban sehingga Sunny Point menghala ke arah Bayan Lepas.
"Seterusnya laluan paling kanan di antara Kem Tentera Batu Uban sehingga persimpangan lampu isyarat bagi kedua-dua arah, bagaimanapun laluan lain kekal dibuka untuk laluan trafik," menurut kenyataan itu.
Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika melalui kawasan itu dan papan tanda, kon-kon trafik serta pengawal bendera akan ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membantu melancarkan kawalan trafik dan keselamatan pengguna kenderaan di laluan berkenaan.
-- BERNAMA