MANILA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual kembali ke Manila petang ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.
Anwar sebelum ini pulang sebentar ke Malaysia bagi menyambut ketibaan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang dalam lawatan rasmi ke negara ini.
Sekembalinya ke Manila, Perdana Menteri juga dijadual menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
Beliau seterusnya dijadual berlepas ke Shenzhen, China bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili Malaysia dalam mesyuarat sidang kemuncak di Manila sepanjang ketiadaan Anwar.
Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) ke-4, Sidang Kemuncak ASEAN bersama dengan Jepun dan India serta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-21.
Hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan turut menyaksikan penyerahan kepengerusian ASEAN oleh Filipina kepada Singapura yang akan mengambil alih peranan itu pada 2027.
-- BERNAMA
TAG: ASEAN, Anwar Ibrahim, sidang kemuncak, Malaysia-AS, kepengerusian