KUALA LUMPUR: Majikan boleh memberi kelonggaran termasuk memberi kebenaran masuk lewat ke pejabat atau bekerja dari rumah bagi pekerja yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan (LRT) laluan Kelana Jaya yang dijangka selama seminggu.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan boleh mempertimbangkan opsyen berkenaan, bergantung kepada sifat pekerjaan yang terlibat.

"Sebagai majikan, kita faham apabila timbul situasi begini. Jika tiada kerja yang mendesak, boleh diberi kelonggaran untuk masuk lambat daripada kebiasaan.

"Jadi berdasarkan sifat pekerjaan, beberapa pilihan boleh dipertimbangkan oleh majikan. Pekerja juga adalah orang yang munasabah. Jika ada mesyuarat penting, mereka akan mencari jalan untuk menjalankan tugas mereka," katanya dalam reaksi ringkas kepada Astro AWANI, pada Khamis.

Tambahnya, pengurusan sesebuah syarikat dan majikan seharusnya diberi peluang untuk menentukan yang terbaik, manakala pekerja pula tidak boleh menjadikan situasi itu sebagai alasan untuk tidak menjalankan tugas.

"Sebaiknya kita serahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan. Perlu diingat, masih banyak syarikat menggunakan waktu kerja flexi. Kita tidak boleh memberi alasan masalah pengangkutan dan tidak melakukan kerja.

"Kita semua adalah orang yang bertanggungjawab. Semuanya munasabah apabila kejadian seperti ini berlaku," sambungnya.

Gangguan LRT | Waktu menunggu bas di stesen kini 5 minit

Terdahulu, operator LRT iaitu Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil, dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya pada Sabtu dan Isnin lalu.

Susulan itu untuk tempoh seminggu sehingga 15 November, 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya tidak beroperasi akibat masalah teknikal, menjejaskan lebih 200,000 pengguna.