GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa Pengerusi MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tidak bercakap benar mengenai peruntukan yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan sebelum ini berhubung isu pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, berdasarkan hasil semakan terperinci pihaknya mendapati peruntukan yang diberikan adalah sebanyak RM34 juta sahaja untuk projek pembinaan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang seluruh negara.

Menjelaskan dakwaan itu, Guan Eng berkata, peruntukan seperti dinyatakan itu dibuat secara umum dan tidak secara spesifik menyebut bagi projek menaik taraf dan pembesaran LTAPP sekali gus meminta Ka Siong mengemukakan bukti dana RM700 juta diluluskan kerajaan ketika itu khusus untuk projek tersebut.

"Bila saya semak secara terperinci perbelanjaan yang telah diperuntukkan dalam buku anggaran Perbelanjaan Pembangunan, dimana ada satu tajuk pengangkutan udara Semenanjung, dan ada menyatakan untuk pembinaan dan  menaikkan taraf infrastruktur lapangan terbang, wang sejumlah RM34 juta telah diperuntukkan.

"Semua tahu RM34 juta tak cukup untuk membesarkan satu lapangan terbang antarabangsa, mana cukup, projek ini sekurang-kurangnya makan antara RM700 juta hingga RM1 billion, RM34 juta mana cukup, ini adalah untuk seluruh Semenanjung Malaysia, projek ini bukan hanya untuk satu lapangan terbang.

"Di sini sebut untuk di Semenanjung, tidak sebut hanya untuk Pulau Pinang, LTAPP sahaja," katanya.

Dalam masa sama, Guan Eng turut menafikan dakwaan Ka Siong yang mana beliau menjadi punca projek naik taraf dan pembesaran LTAPP tertangguh termasuk tidak menggunakan dana kerajaan seperti yang diperuntukkan menerusi Bajet 2018.

Malah ujar beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu juga tidak membuat permohonan merancang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf dan pembesaran LTAPP dapat dimulakan.

Berikutan itu, Guan Eng berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya Ka Siong mahu menunjukkan bukti baharu berhubung dakwaan tersebut.

Calon Parlimen Bagan itu juga berkata, beliau bersedia bila-bila masa untuk berdebat dengan Ka Siong berhubung isu pembesaran dan menaik taraf  LTAPP.

Katanya, Ka Siong boleh mengatur masa dan lokasi debat itu sebelum 19 November ini memandangkan isu terbabit melibatkan kepentingan di negeri itu.

Guan Eng berkata demikian pada sidang media di Wisma DAP, di Jalan Rangoon, George Town pada Selasa.

7 November lepas, Wee Ka Siong ketika turun berkempen di Teluk Kumbar, Bayan Baru dilaporkan berkata, projek menaik taraf dan pembesaran LTAPP itu sepatutnya telah lama dimulakan sekiranya Guan Eng menggunakan dana kerajaan.

Malah, beliau turut dilaporkan bersedia berdebat dengan Guan Eng berhubung isu tersebut.