Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyatakan pihaknya menerima laporan insiden air Sungai Gong, Rawang berwarna hitam, kira-kira pukul 12.11 tengah hari Sabtu.

LUAS dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, siasatan pihaknya di inlet Kolam Tebatan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati, air sungai berwarna hitam itu tidak berbau namun disyaki berpunca daripada pewarna.

Menurut LUAS, siasatannya bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesen Pemantauan Sungai Country Home, Rawang mendapati sampel aliran air itu juga tidak berbau, tiada kesan minyak namun berwarna hitam.

"Siasatan lanjut menemukan pelepasan efluen berwarna dan berbuih, daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5, di kawasan Perindustrian Rawang.

"Pensampelan 'in situ' telah dijalankan oleh LUAS dan mendapati kandungan ammonia adalah sebanyak 5.2 mg/I dan TSS adalah 47 mg/I. Pihak IWK telah memberhentikan aliran daripada 'pam kemasukkan' dan seterusnya memberhentikan pelepasan discaj efluen," menurut kenyataan itu.

LUAS memberitahu, siasatan diteruskan ke Sungai Sembah iaitu aliran sebelum masuk ke Sungai Selangor bagaimanapun mendapati, air sungai berkenaan tiada bau dan tiada warna kehitaman namun pemantauan rapi tetap dilakukan bersama agensi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, tiada henti tugas operasi loji rawatan air dan juga tiada gangguan bekalan air dilaporkan ekoran insiden berkenaan.

LUAS turut meminta orang awam agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air di [email protected] atau melalui aplikasi WhatsApp: 019- 2647904.

-- BERNAMA