Pengalaman mengikuti datuknya berkelana ke Mekah, Arab Saudi pada tahun 1949 seawal usia lima tahun menyebabkan seorang penggiat seni tulisan khat, Ahmad Mustafa, 73, begitu teruja untuk mempelajari dan menghayati sejarah tamadun Islam.

Ketika usia masih muda, Ahmad Mustafa sudah mula meneliti corak sejarah pembangunan sosial serta infrastruktur yang berlaku di sekitar Mekah, Madinah serta kawasan di sekitar sehingga beliau menjadi pensyarah di Bahagian Geografi dan Sejarah, Universiti Umm al-Qura, Arab Saudi pada 1977.

Bermula saat itu, beliau yang meminati geografi dan sejarah mengambil inisiatif mengumpulkan pelbagai koleksi berkaitan sejarah tamadun Islam termasuk Tanah Suci Mekah.

Selain itu, kerana minat yang mendalam dalam kajian geografi di Mekah, beliau sanggup mereka bentuk model topografi semula jadi Mekah, khususnya lokasi penting jemaah menunaikan haji.

Setelah 48 tahun berada di Makkah bermula tahun 1949 hingga 1997, kemudianya beliau pulang ke tanah air membawa keluarganya menetap di Malaysia.

“Dalam masa yang panjang tu, saya dapat pengalaman yang luas, dalam masa yang panjang itu saya boleh dapat gambaran yang penuh bagaimana Mekah sebelum 4,000 tahun dan sebelum binaan,” katanya.

Beliau tidak mahu segala koleksi bahan sejarah dan geografi yang dikumpul terbiar atau musnah tanpa memberi manfaat.

Justeru beliau mengambil keputusan untuk membawa bersama segala khazanah dan koleksi bersejarah itu pulang ke negara supaya ia dapat dimanfaatkan kepada semua masyarakat.

Ahmad yang pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan Cawangan Negeri Kedah dari 2003 hingga 2008 berkata, beliau mempunyai lebih 100,000 koleksi bahan atau sejarah yang rata-ratanya dikumpulnya ketika menetap di Arab Saudi dan Mesir.

Bahan ini sudah dikumpul selama 10 tahun sebelum beliau pulang ke Malaysia pada tahun 1997 dan timbulnya idea untuk mengumpul bahan itu ketika beliau mendapati bahan sejarah serta geografi sangat berguna untuk dijadikan rujukan kepada masyarakat di negara ini.

“Tujuan saya untuk orang Islam di sini sama ada menunaikan haji atau umrah, supaya dapat gambaran bagaimana orang terdahulu melakukan ibadat haji terutama di Arafah atau Muzdalifah,” katanya.

Antara koleksi bahan yang dikumpul beliau lebih 50 keping gambar sejarah Mekah dan Madinah serta ibadat haji sebelum tahun 1955, gambar Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim, sebahagian daripada kain kelambu Kaabah tahun 1970 yang asli, replika pedang Nabi Muhammad (saw) dan Saidina Ali Abi Talib.

Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman serta sudah melihat transformasi geografi Mekah, Madinah dan pelbagai lagi bandar di sekitar tanah suci itu, Ahmad mereka bentuk model topografi bandar Mekah yang sering dijadikan sebagai pameran di tempat kursus haji di masjid tertentu.

Segala koleksi bahannya kini hanya diletakkan di sebuah kedai yang kecil dan sempit di Kompleks Peruda dan beliau berharap kerajaan negeri dapat membantunya terutama dalam menyediakan ruang mempamerkan bahan sejarah dan geografi untuk rujukan orang ramai.