KAMPAR: Mural yang mengetengahkan tema ikonik negeri Perak seperti labu sayong, congkak dan seladang kini telah menghiasi dinding SK Methodist ACS Kampar, di sini.

Inisiatif itu digerakkan oleh 13 orang kakitangan Universiti Tunku Abdul Rahman Kampus Kampar (UTAR) yang terdiri daripada pensyarah serta staf dari fakulti universiti berkenaan.

Ia juga mendapat kerjasama daripada pihak SK Methodist ACS Kampar yang turut sama berganding bahu menjayakan projek berkenaan.

Pemilihan kawasan itu bersesuaian dengan kedudukan sekolah tersebut yang berada di tengah-tengah laluan antara utara dan selatan, sekali gus menjadikan ia satu lagi produk pelancongan baharu di negeri ini.

Ketua Projek Mural ACS Kampar, Ehlid Luli berkata, projek itu juga sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial (CSR) UTAR dalam meluaskan khidmat percuma kepda masyarakat setempat.

Katanya lagi, bertepatan dengan Tahun Melawat Perak tahun depan, ia juga memberi mesej mengenai alam sekitar kepada orang ramai.

"Ini merupakan usaha murni pihak staf UTAR untuk mendekatkan dengan komuniti khususnya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan yang banyak membantu dari segi kerjasama bersama ACS Methodist Kampar dan UTAR.

"Projek ini juga tidak berjaya tanpa kerjasama serta sokongan pihak Majlis Daerah Kampar dan Hume Cement Sdn Bhd," ujarnya.




Sementara itu, Irfan Mustaqim yang mewakili Art's Crew SK  Methodist ACS Kampar memaklumkan, projek mural mega itu dilukis di dinding sepanjang 70 kaki lebar dan tinggi 12 kaki.

"Kami berkampung demi menyiapkan mural yang memaparkan ikon negeri ini, ia seperti labu sayong, batik, congkak, harimau Malaya.

"Termasuk mural bertemakan kitar semula bagi menghapuskan penggunaan plastik dan elak pembakaran terbuka.

"Jutaan terima kasih kepada semua penaja dan rakan strategik yang terlibat menjayakan projek ini," katanya.



Katanya lagi, orang ramai boleh datang ke situ dan bergambar berlatar belakangkan mural tersebut, untuk carian di Waze atau Google Maps ialah dengan kata kunci SK Methodist ACS Kampar.