Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Jentera kawasan menang tanpa bertanding digerak bantu GPS, sasar 82 kerusi - Fadillah

Fadillah bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan jentera Bidayuh GPS di Siburan, pada Ahad. - Foto Astro AWANI
Fadillah bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan jentera Bidayuh GPS di Siburan, pada Ahad. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa jentera GPS memperkukuh kempen, khususnya di lapan kawasan Bidayuh yang menghadapi persaingan tiga hingga empat penjuru.
  • Beliau mengingatkan supaya tidak terlalu selesa walaupun GPS telah menang 29 kerusi tanpa bertanding setakat ini.
  • Kemenangan besar dianggap penting untuk kesinambungan pembangunan Sarawak dan memastikan kestabilan politik serta pelaksanaan PCDS 2030.
Advertisement

SIBURAN: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan yang telah menang tanpa bertanding akan digerakkan bagi membantu kempen calon gabungan itu di kawasan yang masih menyaksikan persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh gerak kerja kempen GPS, termasuk di kesemua lapan kawasan Bidayuh yang menyaksikan persaingan tiga ke empat penjuru pada PRN kali ini.

“Memang kita menggalakkan kawasan-kawasan yang dah menang tanpa bertanding untuk membantu kawan-kawan yang bertanding. Tak kiralah asalnya calon GPS untuk kita bantu jentera kita supaya boleh membantu di kawasan-kawasan yang memerlukan bantuanlah,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan jentera Bidayuh GPS di Siburan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengingatkan jentera GPS supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan memperoleh 29 kerusi tanpa bertanding setakat ini.

Advertisement

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan GPS perlu terus bekerja keras bagi mencapai sasaran memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Disember kelak.

“Kita memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 76. Kalau dapat 82 lah… kalau dapat pastikan cuba menang untuk 82 supaya kita akan kukuh dalam meneruskan perjuangan kita,” katanya.

Tambahnya, kemenangan besar itu penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan Sarawak, termasuk pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain mengekalkan kestabilan politik negeri yang membolehkan Sarawak mempunyai suara lebih kuat di peringkat Persekutuan.
 

Must Watch Video

Advertisement