KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP) bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 serta M40 termasuk institusi di Selangor yang terkesan cabaran pasca pandemik COVID-19 dan bencana banjir tahun lalu.

Inisiatif ZSP tersebut dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Oktober hingga Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM33.5 juta disalurkan bagi Bantuan Khas Keperluan Hidup (Inflasi) kepada 67,000 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Bantuan one-off sebanyak RM500 yang dikreditkan bermula pada hari ini adalah bantuan tambahan daripada bantuan sedia ada yang diterima agar mereka dapat memanfaatkannya bagi meringankan beban susulan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Sebanyak RM2 juta menerusi Bantuan Makanan Bulanan turut diperuntukkan dalam memastikan tiada golongan asnaf yang kelaparan. Malah, sejumlah RM20 juta disalurkan menerusi Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) yang memberi manfaat kepada 20,000 penerima dalam kalangan keluarga B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Kongsi Rezeki Bersama Komuniti Lembaga Zakat Selangor di Masjid Darul Ehsan di sini.

Bagi menyokong pemulihan institusi terkesan, LZS turut menyantuni institusi pendidikan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelab Agama dan Fardu Ain (KAFA) dibawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam pada itu, menurut Sabirin, setakat November pihaknya merekodkan kutipan zakat sebanyak RM770 juta dengan sasaran RM1 bilion pada tahun ini.

“LZS menyediakan pelbagai kaedah perkhidmatan pembayaran zakat tanpa tunai disaluran pembayaran dalam talian seperti EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.

“Bagi menggalakkan orang ramai untuk terus menunaikan zakat, melalui kempen Kongsi Rezeki dan Dengan 2.5%, LZS mengetengahkan platform pembayaran atas talian yang terkini iaitu Direct Debit.

“Menggunakan perkhidmatan ini, pengeluar zakat dapat menunaikan zakat secara potongan terus dari akaun bank masing-masing dengan lebih mudah,” ujarnya.

Untuk membuat pendaftaran dan potongan langsung debit ini, orang ramai boleh layari zakatselangor.com.my

Dalam pada itu, sebagai usaha menggalakkan pembayar baharu mula menunaikan zakat, LZS menawarkan insentif berbentuk Sijil Simpanan Premium BSN melalui kempen Kongsi Rezeki dan Menang bermula 1 hingga 31 Disember ini.