KUALA LUMPUR: Permohonan kuasa autonomi pendidikan untuk Sarawak akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan (MTP) bagi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk persetujuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata isu berkenaan autonomi pendidikan itu telah dibangkitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mac lepas.

"Itu (autonomi pendidikan) merupakan satu daripada tiga tuntutan baharu berkaitan MA63 selain autonomi kesihatan di kedua-dua negeri (Sabah dan Sarawak) dan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri Sarawak.

"Selain tuntutan baharu ini, enam tuntutan asal Sabah dan Sarawak telah diselesaikan sepenuhnya," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Johnie yang ingin tahu mengenai perkara-perkara dalam MA63 bagi Sarawak yang telah dimuktamadkan dan apakah lagi perkara-perkara yang belum diselesaikan.

Mengulas lanjut, Wilson berkata antara tuntutan yang telah diselesaikan ialah mengiktiraf Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 serta penyerahan kuasa kawal selia Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak.

"Kerajaan terus komited untuk memastikan segala perjanjian dalam MA63 itu diselesaikan, bagaimanapun tempoh masa penyelesaian setiap tuntutan tertakluk kepada proses perundangan berkaitan selain kesediaan kerajaan negeri dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan," katanya.

-- BERNAMA