ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjangkakan status kemajuan aktiviti tanaman padi di Kawasan Muda mencapai 90 peratus pertengahan bulan depan.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata keadaan itu akan membolehkan kawasan tanaman padi di Kawasan Muda memperoleh hasil kasar pengeluaran sebanyak 450,000 tan metrik, bersamaan 274,000 ribu tan beras atau 27.4 juta beg beras.

"Sehingga 18 September 2023, prestasi tuaian semasa di Kawasan Muda telah dituai sebanyak 20 peratus dengan anggaran hasil kasar pengeluaran sebanyak 100,000 tan metrik bersamaan 54,000 tan beras atau 5.4 juta beg beras," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata kedudukan paras takungan air di tiga empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi bagi menampung aktiviti tanaman padi musim kedua tahun ini.

Beliau berkata paras air di Empagan Pedu berada pada kadar 83.22 peratus, Empangan Muda (66.13 peratus) dan Empangan Ahning pada 98.94 peratus.

Beliau turut menasihatkan peladang di Kawasan Muda supaya mematuhi jadual penanaman padi yang dikeluarkan MADA untuk mengelakkan pembaziran air dan menggunakan benih padi sah sahaja bagi tujuan penanaman.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata bagi kelangsungan pengeluaran padi negara, MADA melaksanakan strategi program peningkatan hasil padi di Kawasan Muda dengan memfokuskan penanaman padi berskala besar dan projek penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun.

Mengikut purata lima tahun terkini (2017-2021), Kawasan Muda merupakan pengeluar padi terbesar negara dengan keluasan pasel padi mencapai 100,641 hektar di Kedah dan Perlis yang menyumbang antara 39 peratus hingga 43 peratus padi setahun kepada negara.

-- BERNAMA