MADA mula banci kerugian pesawah untuk tujuan pampasan

Ismail berkata bancian dijalankan bermula pada Khamis ini dan pihaknya berharap pesawah terlibat dapat memberikan kerjasama dengan menyediakan maklumat diperlukan. - Gambar fail/Bernama
JERLUN: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melaksanakan bancian jumlah kerugian dialami pesawah di Pendang dan Kubang Pasu akibat banjir yang berlaku baru-baru ini, bagi membolehkan tuntutan pampasan dilakukan oleh mereka yang terlibat.
Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata bancian dijalankan bermula pada Khamis ini dan pihaknya berharap pesawah terlibat dapat memberikan kerjasama dengan menyediakan maklumat diperlukan.
"Semua padi yang tenggelam musnah sepenuhnya, maknanya perlu beri pampasan kerana padi ini sudah masak sebelum tenggelam.
"Pampasan bergantung pada tahap kerosakan dan kita akan berusaha salurkannya secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Kawalan Keladi Agas di kawasan Muda, di sini hari ini.Beliau berkata sawah seluas 745 hektar yang sedang menunggu masa untuk dituai, melibatkan 372 pesawah, terjejas dalam kejadian banjir pada awal bulan ini.
Sementara itu, Ismail berkata serangan keladi agas di kawasan Muda bagi musim 1/2025 melibatkan keluasan kira-kira 1,000 hektar dengan peningkatan 30 peratus berbanding musim 1/2024.
Beliau berkata serangan itu ialah satu ancaman, namun jika peladang melaksanakan kawalan seperti yang disyorkan dalam Pakej Kawalan Keladi Agas MADA, jangkaan kadar infestasi akan berada di bawah 30 peratus.
"Melalui kempen ini, pihak MADA bukan sahaja menyampaikan pengesyoran kawalan kepada peladang, malah turut menggiatkan usaha pengembangan dengan melaksanakan 20 siri kempen yang melibatkan 600 peladang," katanya.
Ismail berkata pendekatan lapangan yang lebih praktikal turut diperkenalkan melalui 27 Plot Demonstrasi Kawalan Keladi Agas di bawah PPK MADA yang akan dilaksanakan mulai musim 2/2025, sebagai medium untuk peladang melihat sendiri keberkesanan kaedah kawalan yang digunakan.
"Pelaksanaan kempen ini bukan sekadar langkah jangka pendek, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang dalam memastikan pengurusan rumpai di kawasan Muda dapat dilaksanakan secara mampan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami