KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan harga barangan keperluan asas akan kembali pulih dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata ia berikutan kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan memberi subsidi kepada pemain industri makanan asas pada Khamis lalu.

"Subsidi itu diberikan kepada pengimport ayam mentah, sayuran, syarikat yang menjual makanan ayam, racun dan sebagainya untuk mengatasi masalah tersebut.

"Insya-Allah, tidak lama lagi apabila barangan import masuk ke dalam negara kita dengan harga subsidi, kita akan menikmati harga yang sewajarnya dan saya minta kepada rakyat supaya bersabar seketika," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir melawat projek Industri Asas Tani (IAT) iaitu 'Pizza Frozen' yang diusahakan Agropreneur muda, Nur Hadfina Haifa Che Hussin menerusi jelajah Program Agropreneur Muda (PAM) di Bandar Satelit, Pasir Tumboh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi sekali lagi menegaskan kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini adalah kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sehingga menyebabkan kenaikan harga barang.

"Sebelum ini ada dakwaan segelintir pengguna media sosial mengatakan harga ayam mentah mencecah sehingga RM20 sekilogram. Dakwaan harga itu tidak benar.

"Perkara ini seakan berbaur fitnah yang ingin menggugat kerajaan sedangkan kerajaan begitu cakna dan prihatin terhadap kesusahan rakyat dengan memberi subsidi kepada barangan asas dan sebagainya berbanding negara lain yang tidak mampu untuk memberi subsidi kepada rakyatnya," katanya.

Sementara itu, mengenai Program Agropreneur Muda, Nik Muhammad Zawawi berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta pada tahun ini dengan sasaran usahawan muda seramai 750 orang membabitkan pelbagai sektor.

"Skop program ini merangkumi bantuan geran berbentuk barangan sehingga mencecah RM20,000 setiap seorang, selain bantuan modal dan juga kursus jangka pendek dan khidmat nasihat teknikal serta kewangan.

"Di Kelantan, bagi tempoh sehingga Oktober lepas sebanyak RM1.37 juta geran telah diluluskan membabitkan 69 usahawan muda. Oleh itu kami menyeru generasi muda supaya tampil membuat permohonan dengan MAFI, dan insya-Allah kami akan pertimbangkan dengan sewajarnya," katanya.

-- BERNAMA