Skip to main content

Malaysia

MAHA 2026: Agrobank tawar pelbagai inisiatif pacu agromakanan

Sumber: AGROBANK
Antara inisiatif utama Agrobank di MAHA 2026: Skim Usahawan Tani AGROBANK X FAMA dengan kadar keuntungan serendah 2.50% setahun untuk memacu sektor agromakanan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Agrobank menyediakan pelbagai inisiatif sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, termasuk memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai teknologi terkini dalam sektor pertanian. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, penglibatan Agrobank di MAHA 2026 bukan sekadar memperkenalkan perkhidmatan kewangan, sebaliknya turut membuka peluang kepada pengunjung untuk memahami perkembangan teknologi dalam bidang agromakanan.

Menurutnya, sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), Agrobank mempunyai mandat untuk meningkatkan penghasilan agromakanan menerusi pelbagai bentuk intervensi, termasuk padanan perniagaan atau business matching

“Dalam MAHA ini Agrobank bukan sahaja memberi pendedahan mengenai perkhidmatan Agrobank, tetapi memberi peluang kepada pengunjung untuk belajar teknologi terkini dalam bidang pertanian.

"Kita bukan sahaja sebagai sebuah development financial institution yang berteraskan kewangan dan intervensi kewangan, tetapi juga mempunyai mandat untuk meningkatkan lagi penghasilan agromakanan melalui intervensi seperti business matching kepada mereka yang telah berjaya menggunakan teknologi-teknologi terkini.”

Katanya, MAHA 2026 turut mengetengahkan pelbagai teknologi pertanian meliputi sektor akuakultur, tanaman, penternakan unggas serta pembiakan haiwan bagi meningkatkan pengeluaran agromakanan.

Image
Sumber: AGROBANK
Kempen AGRO Gig menawarkan kemudahan pembiayaan khas tanpa cagaran sehingga RM50,000 bagi memperkasa pekerja ekonomi gig dan individu bekerja sendiri dalam mengembangkan operasi harian mereka.

“Di dalam MAHA banyak teknologi dalam bidang-bidang pertanian seperti akuakultur, tanaman, ternakan dan pembiakan haiwan untuk menghasilkan lebih banyak produk.”

Beliau berkata, Agrobank turut menyediakan khidmat nasihat kepada pengunjung mengenai teknologi yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti, selain menerangkan bentuk pembiayaan yang bersesuaian.

Dalam masa sama, program business matching akan dilaksanakan bagi menghubungkan pemain industri yang berminat dengan pihak berkaitan, khususnya mereka yang telah berjaya mengaplikasikan teknologi terkini dalam operasi pertanian.

“Kita juga akan membuat business matching untuk mereka yang berminat dan kita akan bawa pengunjung serta menasihati mereka di mana mereka ingin melihat teknologi-teknologi yang terkini dan bagaimana Agrobank boleh menolong dari segi pembiayaan.”

Image
Sumber: AGROBANK
Impak Program ACE Agrobank memperlihatkan komitmen berterusan bank dalam melonjakkan skala perniagaan usahawan agromakanan menerusi bimbingan strategik dan dana pembiayaan yang meningkat setiap tahun.


Dalam masa sama, Agrobank turut memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi dalam pengurusan kewangan menerusi AgroPlanner, yang dilihat dapat membantu usahawan meningkatkan produktiviti serta memudahkan akses kepada pembiayaan daripada institusi perbankan.

Justeru, penyertaan Agrobank di MAHA 2026 dilihat sebagai platform untuk memperkukuh ekosistem agromakanan, bukan sahaja melalui akses kepada pembiayaan, tetapi turut merangkumi pendedahan teknologi, khidmat nasihat dan peluang jaringan perniagaan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement