PERBEZAAN satu mata sememangnya pahit untuk diterima, namun itulah adat permainan.
Tular video menyayat hati membabitkan atlet negeri Johor, Damia Husna Azian, yang menangis bersedih susulan tewas kepada Emylia ‘Mia’ Ghazali dalam Muay Thai kategori 42-45 kilogram (kg) Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 semalam.
Atlet berusia 21 tahun itu yang mahu mempertahankan pingat emas dalam temasya dwitahunan itu gagal menyembunyikan rasa hampa selepas akur mengharungi pertarungan cukup sengit sebelum kalah dengan hanya perbezaan satu mata 33-34.
Di sebalik kontroversi yang melanda dengan pelbagai dakwaan di media sosial, video itu jelas menceritakan kekecewaannya, namun orang ramai tetap percaya dengan kebolehan dan keupayaanya pada masa akan datang.
Tangisannya menceritakan segalanya, tetapi biarlah ia terus menjadi kekuatan buatnya melangkah lebih jauh selepas ini. Keluarga, kenalan rapat dan kem kontinjen sedia bersama Damia hingga berjaya.
Ramai peminat sukan berharap semoga Damia lekas bangkit dan terus memandang ke hadapan untuk kembali menjadi lebih hebat dan kuat.
Damia bukanlah asing dalam arena pertempuran apabila sudah mengharumkan nama negara sebelum ini.
Untuk rekod, Damia Husna pernah meraih pingat emas kategori 42-45kg dalam Kejohanan Senior Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muay Thai (IFMA) 2022 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Stadium Astro