Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Maha Klinik bukti cinta Dr Mahathir kepada Dr Siti Hasmah

[TB]_MAHA Klinik_BERNAMA
Maha Klinik pada awalnya dibuka di Pekan Melayu di Alor Setar pada 1957 sebelum berpindah ke Jalan Sultan Badlishah pada 1979 dan satu-satunya klinik yang dipatenkan atas nama Dr Mahathir serta Dr Siti Hasmah. - Gambar Bernama
Advertisement

ALOR SETAR: Maha Klinik yang beroperasi sejak 1957 di sini digambarkan sebagai bukti kisah cinta abadi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pembantu Tadbir Maha Klinik, Mercy Samuel, 69, yang berkhidmat hampir 50 tahun di klinik itu berkata, nama unik klinik swasta pertama Bumiputera itu bukan sekadar sebuah jenama perubatan, malah gabungan rasmi daripada nama Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

“Mereka bertemu ketika menuntut bersama-sama di Singapura. Selepas menamatkan pengajian dan mendirikan rumah tangga, Dr Mahathir mengambil keputusan meninggalkan perkhidmatan awam untuk membuka kliniknya sendiri.

“Sebagai tanda kasih kepada isteri tercinta yang sentiasa berada di sisi dan menjadi pembakar semangat, beliau mengabadikan gabungan nama mereka berdua pada papan tanda Maha Klinik,” katanya ketika ditemui di klinik itu di sini, semalam.

Beliau berkata, Maha Klinik pada awalnya dibuka di Pekan Melayu di sini pada 1957 sebelum berpindah ke Jalan Sultan Badlishah pada 1979 dan satu-satunya klinik yang dipatenkan atas nama Dr Mahathir serta Dr Siti Hasmah.

“Tun Dr Mahathir telah menyerahkan klinik berkenaan kepada Datuk Dr Mohamed Yacob Dawood sekitar penghujung 1970-an. Walaupun sudah tidak berkhidmat di klinik berkenaan, setiap kali pasangan itu balik ke Alor Setar, mereka akan datang ke klinik dan bertanya khabar.

“Setiap kali Ramadan, mereka juga tidak pernah lupa untuk mengajak staf klinik berbuka puasa bersama-sama di rumah anak saudara mereka di Alor Setar. Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah memang sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir walau ke mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pemergian Dr Siti Hasmah sangat memberi kesan kepada petugas klinik itu dan seluruh rakyat kerana Allahyarham seorang yang sangat merendah diri dan sifat keibuan membuatkan dirinya disayangi oleh semua orang tanpa mengira peringkat umur, latar belakang, agama dan bangsa.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Maha Klinik Dr Reshampreet Kaur, 39, berkata, Dr Siti Hasmah menjadi pelopor kepada beberapa aspek perubatan, antaranya melibatkan perancangan keluarga, kesihatan ibu dan anak.

“Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah mula pergi ke kawasan kampung untuk memberi rawatan secara percuma kepada pesakit kurang berkemampuan dan miskin.

“Dari dulu lagi, Tun Dr Mahathir kalau lihat orang susah datang klinik, beliau tidak akan mengenakan bayaran atau mengenakan bayaran yang rendah. Itu yang kami kekalkan sehingga kini, hanya mengenakan bayaran dengan kadar yang rendah.

“Walaupun Tun Dr Mahathir berhenti merawat pesakit selepas menyertai politik, klinik ini terus beroperasi dan diingati oleh rakyat Kedah. Sekarang pun, ada orang yang hanya datang ke klinik semata-mata untuk mengambil gambar papan tanda Maha Klinik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement