MALAYSIA
MAHAR gesa siasatan berhubung serangan dron ke atas bot GSF

Bot Pengawal Kebangsaan Maritim Tunisia menjalankan pemeriksaan ke atas Global Sumud Flotilla yang sebelum itu diserang dron, di perairan Sidi Bou Said, Tunisia, 9 Sept 2025. REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan segera berhubung laporan serangan dron ke atas satu daripada bot misi Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Tunisia.
Menyatakan kebimbangan mendalam, pertubuhan itu berkata siasatan perlu dilakukan bagi menentukan pihak bertanggungjawab, termasuk sama ada serangan dron itu disengajakan, menyalahi undang-undang atau merupakan tindakan pencerobohan.
"Adalah penting juga agar jaminan perlindungan segera diberikan kepada semua kapal dan petugas kemanusiaan yang terlibat dalam flotila. Negara yang mempunyai keupayaan dan tanggungjawab mesti memastikan laluan selamat, termasuk melalui ruang udara dan koridor maritim, mengikut undang-undang antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
MAHAR berkata pihaknya menyambut baik pengesahan daripada GSF bahawa semua enam penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat, sambil memuji keazaman mereka meneruskan misi kemanusiaan itu meskipun berdepan ugutan.Pertubuhan itu turut menggesa supaya tekanan diplomatik global diperkukuh bagi menegakkan undang-undang maritim dan kemanusiaan antarabangsa, di samping menekankan kepentingan solidariti dari Malaysia dan negara lain yang sealiran.
"Misi ini amat dekat di hati kami kerana ia turut membawa rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa, yang bersatu di bawah kepercayaan bahawa kepungan ke atas Gaza mesti dihentikan dan bantuan kemanusiaan tidak boleh dianggap jenayah," kata MAHAR.
Pertubuhan itu menegaskan semula kesediaan Malaysia, melalui rakyat dan institusinya, untuk menyokong sebarang proses diplomatik atau undang-undang yang diperlukan bagi mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab membahayakan nyawa orang awam serta menghalang bantuan kemanusiaan.
"Flotila ini bukan sekadar isyarat simbolik, ia adalah cabaran terhadap budaya kebal daripada tindakan undang-undang dan seruan untuk menghormati maruah manusia di perairan antarabangsa. Kami menggesa semua kerajaan untuk menyahut seruan itu," tambahnya.
Lebih 1,000 aktivis dari 44 negara terlibat dalam misi kemanusiaan GSF. Flotila itu terdiri daripada lebih 50 kapal yang membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk penduduk Gaza sebagai sebahagian usaha memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah berkenaan.
Flotila itu belayar dari Barcelona pada akhir Ogos bersama satu lagi kumpulan dari Genoa, Itali dan dijangka berlepas dari Tunisia pada Rabu menuju ke Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami