Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan pendirian tidak berhasrat untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri DUN.

 
Kenyataannya itu sebagai menjawab desas-desus kononnya beliau disenaraikan sebagai antara calon untuk jawatan Menteri Besar sekiranya PAS berjaya mempertahankan tampuk pemerintahan di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13.

 
"Itu tidak mungkin. Saya tidak berhasrat bertanding DUN kerana saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena pada PRU-13 nanti," jelas Mahfuz ketika dihubungi Astro AWANI.
 

Beliau turut ditanya apakah bersedia sekiranya diarah oleh PAS pusat untuk dicalonkan sebagai MB Kedah.
 

"Bukan jawatan MB tetapi saya sedia jadi Perdana Menteri," katanya sambil berjenaka.
 

Pada masa sama, Mahfuz menafikan wujudnya percaturan sedemikian oleh PAS pusat untuk negeri Kedah.

Persada politik di negeri Jelapang Padi itu dilanda khabar angin kemungkinan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak akan mempertahankan jawatan Menteri Besar yang disandangnya.
 

Senario itu sekaligus mencetuskan persoalan siapa bakal MB Kedah sekiranya PAS berjaya mempertahankan kedudukannya pada PRU-13.