PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34 , 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli pula membuat keputusan bertentangan.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Berikut adalah 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan sebagai terbatal dan tidak sah.

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang mengkhayalkan 

Seksyen 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi muamalat yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga mualat melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Dua seksyen yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan ialah Seksyen 13 iaitu menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral dan Seksyen 30 iaitu menggunakan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

-- BERNAMA