PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Mac ini untuk pendengaran rayuan peguam Datuk V K Lingam terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang menghalangnya daripada menjalankan amalan guaman atas dakwaan salah laku berkaitan sebuah klip video mengenai pelantikan hakim-hakim.

Tarikh pendengaran rayuan itu disahkan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Badan Peguam Malaysia dalam kes ini berikutan pengurusan rayuan itu hari ini.

Razlan Hadri juga berkata Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 Mac ini untuk Lingam dan Badan Peguam Malaysia memfailkan hujahan bertulis mereka.

Lingam disingkirkan daripada menjadi seorang peguambela dan peguam cara oleh lembaga tatatertib badan itu pada 6 Nov, 2015.

Pada 22 Mei 2018, Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman Lingam dan mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu.

Pada 27 Julai tahun lepas, rayuan Lingam ditolak oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Lee Swee Seng.

Dalam keputusan itu, Lee berkata lembaga tatatertib menilai dengan betul bukti saksi-saksi, bukti rakaman klip video dan testimoni pakar serta mendapati salah laku itu dibuktikan berkaitan campur tangan Lingam yang mempengaruhi pelantikan hakim-hakim.

Dalam usul pemulanya, Lingam mahukan mahkamah mengetepikan keputusan lembaga tatatertib dalam mengukuhkan dapatan liabiliti oleh Jawatankuasa Tatatertib yang memutuskan perayu telah berkomplot dengan pelbagai pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi pelantikan hakim-hakim.

Beliau juga cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk mengetepikan dapatan Jawatankuasa Tatatertib dan mengetepikan syornya supaya perayu digantung daripada menjalankan amalan guaman selama setahun dan didenda RM20,000.

-- BERNAMA