Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Rosmah semak keputusan gugur hakim

61705309353_RosmahMansor.jpg
Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam permohonannya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya bagi menyingkirkan Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang mendengar dan mensabitkan beliau dengan kesalahan rasuah melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion pada 2022. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam permohonannya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya bagi menyingkirkan Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang mendengar dan mensabitkan beliau dengan kesalahan rasuah melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion pada 2022.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel tiga hakim, menyampaikan keputusan sebulat suara itu selepas memutuskan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak memenuhi prasyarat Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa untuk membatalkan asas di bawah Aturan 137 namun ia harus digunakan dengan amat berhati-hati, iaitu hanya dalam keadaan luar biasa apabila terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan yang serius dan tiada pemulihan yang berkesan.

“Mahkamah ini harus mengawal ketat permohonan sebegini dan tidak boleh menggunakan aturan ini sewenang-wenangnya atau sebagai hak untuk merayu.

“Justeru, permohonan untuk semakan ditolak,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ravinthran N. Paramaguru.

Azizah juga berkata Rosmah telah berhujah bahawa penghakiman bagi perbicaraan kes solar yang disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi telah diserahkan kepada mahkamah berkenaan tanpa pengetahuan beliau dan peguamnya juga tidak dibenarkan memberikan maklum balas berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata Rosmah berhujah bahawa perkara ini telah menghalangnya daripada mendapat pendengaran yang adil dan adalah satu pelanggaran terhadap prinsip keadilan semula jadi.

“Namun, mahkamah mendapati isu ini berkaitan dengan merit rayuan dan bukan alasan untuk semakan di bawah Aturan 137,” katanya sambil menambah keputusan sebelum ini tidak menimbulkan risiko berat sebelah yang sebenar.

Pada 1 Julai lepas, Mahkamah Rayuan menetapkan 16 hari bermula 1 Sept lepas untuk mendengar rayuan Rosmah untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes solar.

Pada 3 Mac lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar menolak rayuan Rosmah.

Panel itu memutuskan bahawa Mohamed Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan draf penghakiman yang bocor telah disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum beliau menyampaikan keputusan pada 1 Sept 2022.

Permohonan Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 1 September 2022 manakala rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas.

Rosmah, 74, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada saat-saat akhir sebelum Mohamed Zaini menyampaikan keputusannya atas alasan draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga telah bocor.

Pada hari sama, Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah disabitkan dengan kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid itu bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, dengan tambahan tempoh pemenjaraan selama 30 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu pelupusan rayuan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement