PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.

Hakim Datuk Suraya Othman dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin bersetuju bahawa keputusan yang dibuat berdasarkan keterangan Tan Sri Chai Kin Kong sebelum ini dan keterangan daripada pegawai siasatan SPRM, Saad Bordani yang mengesahkan sumbangan wang sumbangan tersebut adalah sumbangan politik.

Keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim dengan Datuk Suraya Othman dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais menentang.

Datuk Suraya yang membacakan keputusan itu berkata bahawa keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah terkhilaf iaitu tidak memiliki arah yang jelas dan tersalah arah.

Tuduhan Rasuah | Tengku Adnan dilepas dan dibebaskan

Tengku Adnan sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember tahun lalu yang menjatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta ke atasnya selepas didapati bersalah di atas tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya sebanyak RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dibuat di CIMB Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

BACA: Tengku Adnan didapati bersalah terima rasuah RM2 juta

BACA: Keputusan rayuan Ku Nan atas sabitan rasuah hari ini