Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Rayuan tolak rayuan Indira Gandhi berhubung saman RM100 juta

41770119099_MIndiraGandhi.jpg
Rayuan itu gagal kerana Indira tidak dapat membuktikan hubungan sebab dan akibat yang diperlukan bagi mendapat ganti rugi di bawah undang-undang persendirian. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan guru tadika M. Indira Gandhi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman sebanyak RM100 juta terhadap pihak polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan kerana didakwa gagal menahan bekas suaminya dan mengembalikan anak perempuannya.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, dalam keputusan sebulat suara, memutuskan bahawa rayuan itu gagal kerana Indira tidak dapat membuktikan hubungan sebab dan akibat yang diperlukan bagi mendapat ganti rugi di bawah undang-undang persendirian.

Hakim Faizah berkata Indira perlu membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa sesuatu kegagalan boleh diambil tindakan merupakan punca efektif kepada keseluruhan atau sebahagian daripada tuntutan kerugian yang dikenal pasti.

"Secara praktikalnya, perayu (Indira) perlu menunjukkan bahawa, jika bukan kerana kegagalan yang dikenal pasti, K. Pathmanathan (yang nama Islamnya ialah Muhammad Ridhuan Abdullah) berkemungkinan telah ditahan, Prasana Diksa ditemui semula atau sebahagian daripada kerugian itu dapat dielakkan," katanya.

Faizah berkata ganti rugi di bawah undang-undang persendirian adalah untuk mengimbangi kerugian yang disebabkan oleh kesalahan yang boleh diambil tindakan, bukannya sebagai tindak balas sendiri terhadap prestasi pentadbiran yang tidak memuaskan.

Beliau berkata Prasana Diksa dibawa pergi dan perpisahan antara ibu dengan anak itu bermula bertahun-tahun sebelum perintah mahkamah dikeluarkan pada 2014 dan 2016, sambil menambah responden (polis, KDN dan kerajaan) tidak menjadi punca kepada pengambilan anak itu atau perpisahan awal.

"Kami tidak meragui kesakitan, kebimbangan dan perasaan ketidakadilan yang berterusan dialami perayu (Indira). Keperluan untuk membuktikan hubungan sebab dan akibat tidak mengurangkan penderitaan itu, tetapi mengenal pasti kerugian yang undang-undang yang boleh memerintahkan defendan bertanggungjawab sebagai akibat daripada kesalahan yang boleh diambil tindakan," katanya.

Faizah berkata rayuan itu bukan ditolak kerana maklum balas polis terbukti memuaskan, kerana perayu tidak mempunyai kepentingan langsung dan peribadi dalam pelaksanaan waran terbabit atau kerana kelewatan dalam pelaksanaan tugas berkanun tidak penting dari segi undang-undang.

Beliau berkata terdapat kelemahan material dalam pelaksanaan tugas oleh pihak polis dan tiada arahan atau perintah semasa daripada Ketua Polis Negara (KPN) dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan telah dikemukakan.

"Tiada apa-apa alasan yang harus difahami sebagai memberikan imuniti umum kepada pihak polis atau menunjukkan bahawa kegagalan untuk mematuhi dan melaksanakan perintah serta waran mahkamah yang sah tidak mempunyai implikasi di sisi undang-undang," katanya.

Beliau berkata kesimpulan mahkamah terhad kepada keputusan undang-undang persendirian seperti yang dikemukakan oleh Indira serta berdasarkan keterangan yang dikemukakan dalam rayuan itu dan tidak menjejaskan kewajipan berkanun berterusan pihak polis untuk melaksanakan waran komital.

Indira memfailkan saman itu pada 28 Okt 2020 dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, pihak polis, KDN dan kerajaan sebagai defendan. Wanita itu memohon deklarasi bahawa Abdul Hamid, KPN ketika itu, gagal mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menahan bekas suaminya dan mendapatkan semula anak bongsunya Prasana Diksa, sekali gus melakukan tort kecuaian menjalankan tugas awam.

Pada 2009, Pathmanathan menukar agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral tanpa persetujuan Indira sebelum memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah. Mahkamah Persekutuan kemudian memutuskan bahawa penukaran agama secara unilateral itu terbatal dan tidak sah.

Prasana Diksa diambil oleh Pathmanathan ketika berusia 11 bulan, tidak lama selepas penukaran agamanya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh anak-anak kepada Indira. Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengekalkan perintah mandamus Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis menahan Pathmanathan dan mengambil semula Prasana Diksa untuk mengembalikannya kepada Indira. Dua anaknya dipulangkan kepadanya pada 2010.

Sementara itu, di luar mahkamah, Indira berkata apa yang diinginkannya hanya bertemu dengan anak perempuannya itu.

"Apa-apa sahaja yang dia mahu atau dengan siapa dia mahu bersama bukanlah isu. Saya hanya mahu melihatnya," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement