Sebanyak 15 permohonan perkahwinan bawah umur telah dikemukakan di Mahkamah Syariah di negeri ini bagi tempoh 2018 sehingga awal tahun ini.

Daripada jumlah itu hanya 10 permohonan diluluskan yang melibatkan pasangan berumur 15 tahun ke atas.

Demikian menurut Hakim Mahkamah Tinggi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty seperti dilaporkan Bernama.

“Walaupun jumlah ini dilihat kecil, tetapi perkahwinan bawah umur harus dicegah awal kerana dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah kepada pasangan muda,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau ditemui selepas menghadiri Forum Perdana ‘Perkahwinan Dalam Kalangan Kanak-Kanak: Apa Kata Pakar’ di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini.

“Kita tidak menggalakkan kahwin muda kerana pelbagai situasi akan timbul.

"Antaranya, bagaimana pasangan muda ini nak urus rumah tangga, ekonomi keluarga, dan individu juga dilihat sukar untuk berkembang termasuk sudut pendidikan dan sosial,” beliau dipetik berkata.

"Kalau hanya ada sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), nak ada kemajuan diri, tak boleh.

"Berbeza jika kita benarkan pasangan berkahwin pada usia 18 tahun ke atas, sekurang-kurangnya mereka sudah ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," tambahnya.

Abu Bakar berkata, Kerajaan Arab Saudi pada Januari lepas sudah mengharamkan perkahwinan pasangan berumur 15 tahun, manakala kebenaran mahkamah diperlukan bagi pasangan 18 tahun ke bawah.

Bagi Malaysia, katanya, enakmen sedia ada memberi kelonggaran kepada pasangan 15 tahun untuk berkahwin, dengan syarat mendapat kebenaran mahkamah.

“Kita serahkan kepada pemerintah jika melihat perkara ini perlu untuk diselaraskan (tidak benarkan kahwin bagi pasangan 18 tahun ke bawah).

"Kalau peraturan larangan merokok boleh dilaksanakan, ada larangan kenderaan berat di jalan raya semasa musim perayaan, apatah lagi pelaksanaan perkara ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, bagi tempoh 2001 sehingga 2017, sebanyak 2,226 permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan dan hanya 200 permohonan tidak diluluskan oleh sebab tertentu.