ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan mengarahkan kerajaan pada Khamis untuk menubuhkan sepasukan perubatan bagi memeriksa bekas Perdana Menteri, Imran Khan, yang kini dipenjarakan selepas beliau mengadu mengalami 85 peratus kehilangan penglihatan pada mata kanannya, menurut peguam beliau, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bekas pemimpin berusia 73 tahun itu telah dipenjarakan sejak 2023 susulan sabitan atas pelbagai pertuduhan rasuah, termasuk kecurian hadiah mahal yang diterimanya daripada negara lain semasa tempoh pentadbirannya dari 2018 hingga 2022.
Advertisement
Peguam Khan, Salman Safdar, memberitahu media di Islamabad bahawa Khan telah mengalami jangkitan pada mata kanannya beberapa bulan lepas yang membawa kepada kemerosotan penglihatan yang pantas.
Ketua Hakim Mahkamah Agung Yahya Afridi minggu ini mengarahkan Safdar untuk bertemu Khan dan mengemukakan laporan mengenai kesihatannya, kata peguam itu.
Safdar mengadakan pertemuan selama tiga jam dengan Khan di sel penjaranya dan memberitahu mahkamah pada Khamis bahawa mata kanan Khan sedang kehilangan penglihatan dengan cepat.
Bekas bintang sukan yang beralih ke bidang politik itu kekal popular di Pakistan meskipun partinya gagal memenangi pilihan raya pada 2024.
Kerajaan telah menyekat pertemuan Khan dengan ahli keluarga dan peguamnya sepanjang enam bulan lepas. Mahkamah turut mengarahkan kerajaan untuk membenarkan beliau bercakap dengan anak-anak lelakinya yang menetap di London.
-- BERNAMA-dpa