SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Forum Perdana Ehwal Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.
Keberangkatan tiba baginda berdua ke forum bertajuk “Kelahiran Insan Riayah” itu adalah bersempena ulang tahun ke-15 Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Advertisement
Forum anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menekankan tanggungjawab menyantuni anak yatim serta tuntutan iman yang perlu dizahirkan melalui tindakan bersepadu oleh kerajaan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Forum disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama satu jam itu turut dihadiri Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail, serta kira-kira 600 hadirin.
Berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, forum berkenaan menampilkan Zakaria Othman daripada JAKIM sebagai moderator bersama ahli panel iaitu Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alaudin.
Usai forum pada 10 malam, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung YIDE berkenan menerima cek cura sumbangan korporat untuk yayasan itu daripada Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) berjumlah RM850,000, Kumpulan Westports Holding Berhad (RM500,000), Affin Islamic Bank Berhad (RM333,000) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) (RM100,000).
-- BERNAMA