Maimunah terima Ijazah Kehormat USM, sifatkan sebagai titik tolak perjuangan

Maimunah berkata ketika Malaysia menuju masa depan yang semakin urban dan dinamik, amanah terhadap masyarakat dan keberanian yang menentukan hala tuju negara tidak boleh sesekali dipinggirkan. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Penasihat Hartanah bagi Petronas Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menyifatkan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Perancangan Bandar dan Wilayah yang diterima hari ini sebagai titik tolak dalam perjuangan serta sumbangan di peringkat domestik dan global.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif menerima Ijazah Kehormat Doktor Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Sains Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau di peringkat domestik dan global.
- Maimunah menekankan kepentingan kejujuran, integriti, dan tindakan yang membawa perubahan dalam memenuhi amanah terhadap masyarakat serta keberanian menentukan hala tuju negara ketika dunia mengalami transformasi luar biasa menuju kawasan bandar yang lebih padat penduduknya.
- Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed, menggambarkan Maimunah sebagai tokoh ulung yang telah menaikkan nama Malaysia di peringkat global dengan nilai kemanusiaan, kelestarian, dan kepimpinan yang beliau perjuangkan sepanjang kerjayanya.
"Ini bukanlah untuk dijadikan diri saya sebagai contoh tetapi semangat perjuangan itu perlu diteruskan oleh graduan yang baru masuk dan keluar universiti untuk terus berjaya," katanya selepas selesai menerima anugerah itu setelah sidang pertama Konvokesyen ke-63 USM di sini.
Terdahulu, beliau menerima anugerah itu daripada Canselor USM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Maimunah mengingatkan dunia hari ini sedang melalui transformasi luar biasa, dan pada 2025, sejarah mencatatkan buat pertama kali populasi dunia lebih banyak mendiami kawasan bandar berbanding luar bandar.
Beliau berkata ketika Malaysia menuju masa depan yang semakin urban dan dinamik, amanah terhadap masyarakat dan keberanian yang menentukan hala tuju negara tidak boleh sesekali dipinggirkan.
"Hari ini masyarakat tidak mahukan slogan, mereka mahukan kejujuran, integriti dan tindakan yang membawa perubahan," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata Maimunah adalah tokoh ulung yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia, malah ia bukan sekadar pengiktirafan kepada individu hebat tetapi nilai kemanusiaan, kelestarian dan kepimpinan yang beliau perjuangkan sepanjang kerjayanya.
Beliau berkata Maimunah juga wanita Asia pertama dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) yang mengetuai operasi bandar mampan di 93 negara.
Upacara konvokesyen itu menyaksikan sebanyak 9,347 graduan menerima ijazah masing-masing pada upacara yang bermula hari ini hingga 2 Dis ini, sebanyak 865 graduan menerima PhD, Sarjana (3,501), Ijazah Sarjana Muda (4,934) dan Diploma Kejururawatan (47).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


