MALAYSIA
MAIPs terima pengiktirafan IFRC atas usaha transformasi komuniti rentan di Kenya

Syed Faizuddin (tengah) berkenan menyertai sesi perbincangan meja bulat bersama pengurusan IFRC bagi Benua Afrika di Nairobi, 25 Julai 2025. - Foto ihsan MAIPs
NAIROBI (Kenya): Projek pemulihan komuniti anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), 'Ndengu Revolution', menerima pengiktirafan rasmi daripada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) atas sumbangannya yang dianggap transformatif terhadap masyarakat terjejas kemarau di Kitui, Kenya.
Pengiktirafan itu diumumkan oleh Pengarah Serantau IFRC bagi Benua Afrika, Charles Mbeeta Businge, dalam sesi perbincangan meja bulat bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sempena program Safar Ilmi MAIPs 2025 di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad; Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut Businge, projek yang mula dilaksanakan sejak 2018 itu membuktikan potensi zakat sebagai instrumen pembangunan global yang efektif, terutamanya dalam situasi bencana dan kemiskinan berpanjangan.“Malaysia melalui MAIPs telah menunjukkan bagaimana zakat boleh disepadukan secara profesional dalam agenda kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Inisiatif Ndengu Revolution menumpukan kepada pendekatan pemulihan jangka sederhana dan panjang, termasuk penyediaan benih kekacang ndengu, bantuan input pertanian, sokongan sara hidup serta penguatan kapasiti komuniti tempatan.
Projek tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan asas komuniti yang terjejas, malah membina daya tahan dan keupayaan kendiri mereka untuk jangka masa panjang.
Usaha MAIPs juga mendapat pengiktirafan dalam beberapa penerbitan antarabangsa, antaranya laporan IFRC bertajuk 'The Transformative Power of International Zakat' dan 'Your Duty for Their Dignity', yang kini menjadi rujukan dalam diskusi global berkaitan filantropi Islam.
Pegawai Kanan IFRC bagi Kewangan Inovatif dan Filantropi Islam, Ramya Gopalan berkata, MAIPs memainkan peranan utama dalam memperluas kefahaman terhadap zakat sebagai alat pembangunan yang responsif dan berimpak tinggi.
MAIPs turut terlibat dalam penubuhan Kumpulan Penasihat Filantropi Islam di bawah IFRC, yang bertanggungjawab merangka dasar serta garis panduan bagi pelaksanaan bantuan kemanusiaan berteraskan prinsip Islam.
Dalam sesi tersebut, IFRC turut menzahirkan penghargaan terhadap penglibatan aktif MAIPs dalam projek awal Kenya Drought 2018, yang menjadi asas kepada pelaksanaan Ndengu Revolution.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami