KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan RM19.03 juta dana zakat menerusi sumbangan lhya' Ramadan kepada 871 masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, RM30,000 diperuntukkan kepada masjid, surau Jumaat (RM25,000) dan surau biasa (RM20,000), iaitu kenaikan sekali ganda berbanding tahun lepas.

"Ini merupakan antara keprihatinan MAIWP untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan termasuk keperluan di masjid dan surau.

"Semoga dengan pertambahan bantuan tahun ini serta sumbangan ahli kariah akan menjadikan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan meriah, ceria dan berseri dengan pengisian program pengimarahan dan aktiviti ibadah, kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang Ramadan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya' Ramadan dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2024M, di sini, pada Selasa.

Selain itu, Mohd Na'im berkata, MAIWP turut menyalurkan Bantuan Khas Persediaan Ramadan RM500 secara one off melibatkan 32,250 penerima Bantuan Kewangan Bulanan di Wilayah Persekutuan dengan perbelanjaan berjumlah RM16.125 juta.

"Sumbangan berkenaan telah diberikan bermula hari ini (5 Mac) dan saya tekankan bantuan one off ini sebagai persediaan golongan asnaf ini menyambut Ramadan dan kita nak mereka merasa Ramadan nanti penting dalam kehidupan mereka," katanya.

Mohd Na'im turut melancarkan Pelan Warta Persempadan Kariah Masjid-Masjid Di Wilayah Persekutuan dalam Zon-Zon Pentadbiran di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Beliau berkata, pelan itu bakal memberi impak positif dan memudahkan urusan berkaitan dengan hal ehwal anak kariah dan pengurusan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurutnya, pelan tersebut selaras dengan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 dan telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 15 Jan 2024.
- BERNAMA