Majikan diingatkan agar memainkan peranan masing-masing memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan untuk sektor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan dengan betul, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam masa sama, majikan juga disaran bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil langkah-langkah bagi mencegah penularan COVID-19 khususnya dalam kalangan warga asing.

Sehingga semalam, 60,298 orang bukan warganegara Malaysia telah disaring.

"Daripada jumlah tersebut, 2,575 kes (4.3 peratus) dikesan positif COVID-19, 57,441 kes (95.3 peratus) adalah negatif dan 282 kes (0.4 peratus) masih menunggu keputusan.

"Bagi kes positif di kalangan bukan warganegara Malaysia, seramai 105 kes (4.1 peratus) masih dalam rawatan, 2,465 kes (95.7 peratus) yang telah pulih dan dibenarkan discaj dan kumulatif kes kematian COVID-19 adalah sebanyak lima (5) kes (0.2 peratus)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

BACA: COVID-19: 18 kes baharu, 10 pulih dan tiada kematian

Dalam pada itu, sembilan kes positif yang direkodkan hari ini adalah saringan ulangan daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan dan Melaka.

"Mereka sememangnya telah dikuarantinkan kerana telah terdedah kepada kes positif sebelum ini.

"Sehingga 28 Jun 2020, seramai 957 telah disaring dan setakat ini didapati 326 kes (34.1 peratus) dikesan positif COVID-19. Daripada jumlah tersebut, seramai 312 kes (95.7 peratus) adalah di kalangan bukan
warganegara Malaysia," tambahnya.