TAPAH: Majikan di negara ini dinasihatkan tidak hanya bergantung kepada pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia yang kini dilihat semakin meningkat.

Sebaliknya, mereka perlu mencari alternatif daripada 12 lagi negara yang telah dibuka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kebergantungan kepada dua negara sedikit sebanyak menimbulkan kesulitan kerana terlalu banyak syarat.

"Apabila kita bergantung kepada satu atau dua negara sahaja, terlalu banyak syarat. Bukan senang untuk saya sebagai Menteri untuk menyempurnakan semua permintaan mereka sebab saya perlu jaga kebajikan warga tempatan. Maka kita perlu melihat luar daripada out of box untuk mengambil pekerja-pekerja asing daripada negara-negara lain," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jenteru PRU15 Barisan Nasional Parlimen Tapah di Arena Merdeka Tapah, pada Ahad.

Mengulas lanjut Saravanan berkata KSM  telah berbincang dengan beberapa negara untuk melonggarkan beberapa syarat bagi mengatasi isu kelewatan kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Perbincangan itu juga sebagai jalan penyelesaian isu kelewatan pekerja asing yang berkemungkinan berpunca daripada ejen.

“Kita dah ada jalan penyelesaian sekarang, yang mana kita sudah  berbincang dengan pihak negara sumber dan melonggarkan beberapa syarat.

“Hasilnya, kita melihat peningkatan (kemasukan pekerja asing) sekarang,” katanya.

Beliau mengulas isu kelewatan pekerja asing yang sebelum ini dikatakan berpunca daripada ejen.

Beliau memberi contoh Bangladesh,  dimana majikan perlu melalui beberapa proses yang agak panjang dan menyulitkan.

“Kalau kita lihat contoh sebelum ini, Bangladesh, apabila adanya permintaan daripada majikan selepas bayar levi.

“Majikan perlu sampaikan permohonan kepada duta untuk pengesahan dan duta pula membuat keputusan untuk melawat semua majikan.

“Kalau dia (duta) nak melawat semua majikan, lagi dua tahun pun tidak akan selesai. Maka diadakan perbincangan dengan pihak kedutaan Bangladesh dan menghapuskan perkara-perkara seperti itu," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan Saravanan sebagai berkata, isu berbangkit kelewatan kemasukan buruh asing ke negara ini bukan berpunca daripada kerajaan Malaysia.

Sebaliknya, menurut beliau, halangan mengenai perkara itu berlaku di peringkat majikan dan ejen yang menguruskan kemasukan buruh dari negara sumber.

Pada Rabu, beliau berkata, jemaah menteri bersetuju bagi pengambilan 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang dilanda krisis ekonomi ketika ini.

Menurutnya, kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Sept lepas bersetuju bagi pengambilan pekerja tersebut dan ia merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu negara Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.