KAJANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tindakan Majlis Peguam memohon untuk mencabar isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai hak badan profesional itu.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pengampunan sebagai prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Itu hak mereka. Tetapi apabila kita bercakap mengenai Perkara 42, ia merupakan prerogative of mercy yang kita tahu adalah antara kuasa yang diberikan sepenuhnya atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta Pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi MADANI Jabatan Bantuan Guaman 2026 di Akademi Perundangan Negara, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azalina menjelaskan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri hanya bertindak sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, keanggotaan Lembaga Pengampunan di peringkat negeri turut melibatkan Menteri Besar atau Ketua Menteri serta wakil Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata, sekiranya Majlis Peguam berpandangan bahawa mereka mempunyai asas untuk mencabar perkara berkenaan melalui saluran undang-undang, ia merupakan hak mereka.
Isu itu timbul susulan perkembangan berkaitan permohonan tahanan rumah Najib, yang sebelum ini menjadi perhatian dalam perbahasan mengenai pelaksanaan keputusan pengampunan diraja.
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman oleh Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di Wilayah Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan perlembagaan berkenaan.
Malaysia
Majlis Peguam mohon cabar tahanan rumah Najib, itu hak mereka - Azalina
AZALINA: “Itu hak mereka. Tetapi saya selalu tekankan bahawa apabila bercakap mengenai isu di bawah Perkara 42, ia merupakan apa yang disebut sebagai the 'prerogative of mercy'."