Tinjauan melibatkan 1,210 rakyat Malaysia itu juga mendapati bahawa 70% menentang penahanan di rumah bagi pesalah yang disabitkan dengan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram, serta mahu golongan banduan ini dikecualikan daripada proses undang-undang sedemikian.
Laporan bertajuk "No Dua Darjat: Persepsi Awam Terhadap Keseimbangan Hukuman Jenayah, Tahanan Rumah dan Rayuan Pengampunan Najib Razak" itu ditugaskan kepada Merdeka Centre untuk menjalankan tinjauan pendek yang melibatkan rakyat Malaysia merentas latar etnik, jantina, generasi, sosioekonomi, geografi dan politik.
Selain itu, 71.6% responden menolak penahanan di rumah untuk pesalah rasuah, majoriti juga menentang pemberian keistimewaan ini kepada pesalah yang masih mempunyai kes tertunggak (62.1%), penjenayah ganas (78.5%), penipu atau scammer (70%) serta banduan yang mendakwa tidak bersalah (57.9%).
Dalam pada itu, Projek Sama, menyatakan visi mereka adalah untuk memajukan dan mempromosikan kestabilan politik serta akauntabiliti melalui reformasi institusi berharap penemuan ini akan dipertimbangkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Parlimen ketika merangka undang-undang berkenaan penahanan di rumah bagi mengelakkan penyalahgunaan
Projek Sama memaklumkan bahawa mereka telah melantik firma penyelidikan pendapat, Merdeka Center, untuk melaksanakan tinjauan ini melibatkan responden dari semua 222 kawasan Parlimen, dengan margin ralat sebanyak 2.82%. Tinjauan dijalankan antara 27 Mac hingga 17 April tahun ini.
Najib kini sedang merayu di Mahkamah untuk semakan kehakiman bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Pada tahun 2024, Lembaga Pengampunan telah memotong separuh hukuman penjara Najib kepada enam tahun, daripada 12 tahun, dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta, daripada RM210 juta — kedua-duanya berkaitan dengan tujuh pertuduhan dalam kes SRC di mana beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, dan keputusan itu dikekalkan di Mahkamah Persekutuan.
Tujuh pertuduhan tersebut terdiri daripada satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC, serta masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa berhubung dana RM42 juta milik SRC.
Projek Sama diasaskan oleh bekas pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), termasuk Ngeow Chow Ying, Thomas Fann, Beverly Joeman, Rama Ramanathan, Datuk Dr Abdul Halim Yusof, Wo Chang Xi, dan Profesor Wong Chin Huat yang masih terlibat.
